Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Oktober 22, 2012

JOM BACA


 
Ketika saya pada usia putik, masih berseluar pendek biru dan berbaju putih dengan lencana besi, perpustakaan bukan namanya seperti sekarang, pusat sumber.  Sebaliknya masih dipanggil khutub khanah.  Ia sebuah bilik kecil, hanya sepertiga kelas di tingkat atas bangunan sekolah kami, Sekolah Kebangsaan Dato’ Manan.  Hanya dua rak, kiri dan kanan menghimpit dinding dengan buku-buku yang sudah kekuningan warnanya.  Saya gemar ke khutub khanah itu dengan harapan besar selain dari membaca, berharap-harap dapat dilantik menjadi pengawas khutub khanah.  Tentu sahaja banyak kelebihannya, boleh membaca buku apa yang kita mahu tanpa had waktu pinjaman ketika bertugas.  Malangnya hanya tinggal harapan.  Kegemaran saya yang satu itu tidak pernah padam.  Pada usia putik saya telah habis membaca Hikayat Hang Tuah, Siri Hadi yang diterjemahkan dari Hardy’s Boys dan beberapa buku lain yang dipinjam dari khutub khanah itu. 

Membaca merupakan satu pelarian ketika itu.  Hidup pada zaman yang serba kekurangan.  Apabila membaca, seumpama kita sedang berada di dalam dunia yang lain.  Mengembara ke Parsi dalam Hikayat Seribu Satu Malam, menemui Aladdin dan lampu ajaibnya.  Atau berada di Pergunungan Alps seperti dalam Heidi.  Juga seolah sedang meluncur ais di Gunung Fuji atau menyelam menikmati keindahan batu karang di Andaman.  Semuanya seolah dapat dicapai dalam membaca yang keseronokannya melangkaui batas sempadan diri yang sangat terhad.  Oh, dunia rupanya berada dalam baris-baris perkataan dari setiap helai ke helai yang lain hingga ke penghujung.  Sehingga kini saya terus membaca dan memburu buku.  Anggaran belian buku mencapai ribuan ringgit setahun dan mengisi rak-rak di rumah  menutup dinding.  Saya membaca secara tegar, sebuah buku pasti akan dapat dihabiskan dalam seminggu dan kadang-kala membaca beberapa buah buku serentak. 

Beberapa ingatan dalam menggalakkan budaya membaca, pertama bacalah apa yang kita suka, novel, komik atau majalah humor.  Ada ibubapa yang marah anaknya membaca Doraemon atau Naruto, saya sebaliknya menggalakkan anak saya membaca kedua jenis komik ini.  Dari membaca komiklah saya berkembang menjadi pembaca tegar sekarang.  Ketika saya kecil siri Toyol lukisan Raja Hamzah dan Keluarga Si Mamat karya Lat menjadi bacaan wajib.  Kemudian barulah muncul komik siri pendekar karya Shaari AB, Bujal dan Salina, Gila-gila dan Ujang.  Kini saya cemburu dengan kemunculan majalah manga yang pelbagai di pasaran, juga siri pendekar karya Tony Wong yang sirinya menjangkau ratusan.  Semua pembaca bermula dari yang ringan, seperti para ibu yang menggilai Wanita dan Harmoni yang kemudian berlaih kepada novel-novel.  Akhirnya kita akan terus mencari bahan bacaan yang mencabar minda.

Ingatan kedua, membaca menjadikan fikiran kita tajam dan bernyawa.  Boleh menganalisis sesuatu dengan fikiran yang kritis.  Manusia akan terus bernyawa jika kita berfikir.  Hidup tanpa berfikir, menjadikan kita cepat mati.  Bukan jasad yang mati tetapi hati dan taakulan.  Otak kita lebih berkuasa dari seribu komputer, jika di isi.  Jika sebaliknya, martabat kita tentu jatuh lebih rendah dari sebuah mesin.

Kini kempen membaca sering diadakan dan budaya membaca sedang berkembang luas.  Buku boleh diperolehi di mana-mana, asalkan kita mahu.  Walau pun bersaing dengan internet, buku tidak pernah mati.  Kedai buku bertaraf antarabangsa dengan pakej buku yang menarik – kulit keras, instrulasi comel, kertas bermutu dan tulisan sesuai dengan mata.  Membuatkan buku itu sukar untuk dilepaskan.   Malah ramai yang menyimpan, menjadikannya koleksi.  Saya ada seorang kawan yang masih menyimpan siri kisah hantu karya Tamar Jalis yang kini tidak boleh didapati di mana-mana.  Katanya, kalau ada orang mahu menghulurkan seribu pun, dia perlu fikir beberapa kali.
Rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun pada saya mungkin mitos, mungkin juga ada benarnya.  Tetapi apabila melihat jumlah manusia yang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang jauh mengatasi perhimpunan UMNO atau PC Fair – saya fikir kenyataan itu silap.  Anak muda, generasi baru Malaysia sentiasa dahagakan buku, malah penerbit buku baru tidak menang tangan menanganinya.  Buku akan terus hidup dan dibaca sampai bila-bila.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Salam, tahniah. Adakah ini buku terbaharu Tuan?

mohamadkholid berkata...

Tetamu Istimewa,
Tulis dah lama tapi baru terbit untuk pesta buku yg lepas... Kisah anak-anak istimewa pendidikan khas.