Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, September 24, 2012

Menjadi Penulis


KAMI berbual santai sambil memandang ke arah taman terbuka Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu.  Sahabat, sudah lama saya kenali.  Sejak mula berkhidmat selepas beberapa bulan tanpa tujuan.  Malah selepas saya menetap di Kuala Kubu Bharu yang ketika itu begitu terpencil, jauh dari kesibukan dan masih ada rasa cengkaman ancaman komunis dengan persekitaran hutan dan Kem Eskine yang menjadi base camp Rejimen ke 22 Komando.  Sahabat amat terkejut bila mengetahui saya sudah menulis 11 buah novel kanak-kanak dan sedang menyelesaikan novel dewasa ke 5.  Watak saya pada pandangannya hanyalah watak biasa-biasa.  Banyak idea tetapi lebih senang memendamkan dari menggunakannya untuk kepentingan jabatan.

Itulah penulis, kritis fikirannya bukan terus diluahkan dihujung lidah tetapi diteliti dihujung hati.  Dan saya beri peringatan kepada Sahabat, mungkin perbualan ini akan saya cerna menjadi hasil tulisan juga.  Sahabat nampaknya tidak kisah - aku banyak cerita tetapi tak tahu bagaimana mahu menulis, katanya.  Ya Sahabat memang banyak cerita.  Selalu mengendalikan berbagai kursus untuk pegawai dan klien jabatan tentunya kena banyak modal.  Modal untuk menyenangkan hati pendengar dan juga untuk mengelakkan mengantuk.  Usah hanya ambil cuplikan dari buku modul birotatanegara yang sudah lapuk modulnya.  Cerita harus sentiasa segar dan hidup, itu lah rahsianya...

Setiap dari diri kita boleh menjadi penulis.  Petani boleh saja menulis tentang padi, sawah dan burung ciak.  Penulis muda sekarang yang lahir dan tinggal di bandar besar tentu tidak boleh membezakan burung pucung dengan burung wak-wak...  Tentu tak boleh membezakan antara sarang tempua dan sarang belatuk.  Sebaliknya petani lebih handal dengan kehidupan di desa.  Pelaut boleh sahaja menulis tentang ombak.  Ombak di tengah laut tentu berbeza dengan ombak di beting pasir.  Kilauan cahaya mentari yang jatuh di air tenang tentu sahaja tidak serupa dengan air pasang.  Begitu lah, setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.  Tentu sahaja modal kehidupan ini boleh dijadikan untuk hasil tulisan anda yang pertama.  Sahabat, mulakan lah.

2 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Saya setuju Tuan. Latar belakang penulis mampu menjernihkan ilham untuk menghasilkan karya yang benar-benar jujur. Pembaca juga tidak rasa tertipu dengan bacaan mereka kerana membaca untuk memperkaya minda. Walaupun sekadar karya kreatif ia mampu memberi manfaat kepada semua.

RayyanZilfi berkata...

Tuan,
tepat sekali.Modal kehidupan.