Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Rabu, Mei 09, 2012

Perjalanan Rohani 9



6.30 pagi, mentari sudah memancar keras.  Bagai pukul 9.30 pagi di tanahair.  Hati bagai ditarik-tarik mahu bersegera menziarahi makam Rasullullah SAW.  Kami bertiga bersendirian di hotel ini tanpa jemaah dari Malaysia.  Tiada sesiapa yang lain, hotel juga sunyi.  Jika bersama jemaah Darul Mubarak, pagi ini akan ziarah dalam.  Kami, tanpa mutawif perlu bergerak sendiri dengan bijak dan pantas.  Yang kami tahu, makam Rasullullah di bawah kubah hijau maka ke sana lah arah tujuan saya dan Aiman.  Isteri masuk melalui pintu wanita kerana pada ketika ini waktu khas ziarah dalam untuk jemaah wanita.  Saya dan Aiman menyonsong arus, melalui makan Rasullullah SAW yang ditandai dengan lubang dan huruf khat nama baginda, nama sahabat Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab.  Kami tidak dapat mendekat, begitu ramainya insan.  Saya mencuit Aiman dan menunjukkan pintu keci dari ruang yang berpagar paras pinggang berhampiran Mihrab Rasullullah.  Kami masuk ke ruang Raudah.  Ia berpermaidani hijau.  Tiang-tiang pillar yang indah dengan lampu-lampu yang menjadikan suasana terang.  Raudah kini di bahagikan dengan pemidang putih yang di belakangnya kini jemaah wanita sedang ziarah.  Kedengaran suara-suara wanita merintih perlahan.  Sedang jemaah lelaki yang ruangnya hanya antara dua tiang dari keseluruhan luas raudah yang 22 meter x 15 meter.  Kami berdiri di sisi tiang Aishah, tiang ketiga dari dinding makam.  Tiada ruang untuk kami menyelit.  Mahu melangkah pun cukup berhati-hati, melalui hadapan orang bersolat.  Kadang-kadang terhenti ketika orang bersujud berhampiran kaki.  Ya Allah, berilah kami ruang untuk beribadat kepada Mu.  Beri lah kesempatan untuk kami, ya Allah.

Seseorang yang sedang solat bersebelahan tiang kedua memberi isyarat kepada Aiman.  Benarlah, di tanah haram ini remaja seperti Aiman mudah menarik perhatian jemaah.  Rezekinya mudah, barang kali dosanya tidak sebanyak dosa sang bapa.  Kain putih masih belum tercorak sepenuhnya.  Di ruang yang sempit itu kami kongsi berdua.  Syukur ya Allah!  Aku bersyukur kepada Mu atas nikmat yang Kau berikan sepanjang hidup ku.  Saya mulakan dengan solat tahiyat masjid diikuti dengan solat sunat taubat, solat sunat dhuha dan solat sunat hajat yang setiap satunya punya hajat sendiri.  Untuk anak-anak, untuk masa depan yang didambakan, untuk masa silam yang ditinggalkan, untuk harapan yang sentiasa mendatang.  Saat itu diri terasa kerdil, sekecil hama dalam lautan insan yang sedang bermunajat kepada Tuhan Yang Satu.  Memandang permaidani berbulu lembut, sebanyak itukah dosa-dosaku, Ya Allah?

Tiada ulasan: