Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Mei 18, 2012

Perjalanan Rohani 12


BAHASA, bukan masalah di Madinah.  Malah ternyata Bahasa Melayu menjadi bahasa keempat terpenting.  Papan-papan tanda sekitar masjid, contohnya papan tanda had kawasan solat atau papan tanda tempat letak kasut pun bahasa Melayu dipamerkan.  Bahasa pertama yang terletak di atas sekali pada papan tanda, bahasa Arab.  Kedua, bahasa Inggeris, ketiga bahasa Perancis dan keempat bahasa Melayu.  Ketika membeli belah di souk, peniaga-peniaga melambai-lambai dan menyapa dalam bahasa Melayu.  Pada mulanya hairan juga, bagaimana mereka dapat mengenal kita dan menyapa dalam bahasa Melayu.  Rupa-rupanya pakaian kitalah membezakan.  Jika berbaju Melayu, tahu lah peniaga-peniaga itu kita orang Melayu.  Sepanjang kami di Madinah, tak sepatah pun perkataan Inggeris digunakan, apatah lagi Arab.  Hanya berbahasa Melayu.  Hairan memikirkan di tanahair, ada pemimpin - pemimpin negara dan pemimpin PIBG yang begitu mendewa-dewakan bahasa Inggeris.  Tahukah bahasa Melayu boleh dikatakan terlengkap, mempunyai istilah sendiri yang menjelaskan maksud.  Sebagai contoh, ibu mentua - dalam bahasa Inggeris apa?  Mother in-law.  Sedangkan makan sahaja boleh dipecahkan kepada berbagai nama lain, lihatlah Kamus Dewan atau Kamus Besar Bahasa Indonesia untuk mencarinya.

Menyelusuri souk di Madinah benar-benar mengujakan.  Ada beberapa buah kedai buku dan pada setiap kedai buku itu ada saja buku bahasa melayu yang dijual.  Saya membeli dua buah buku - Sejarah Mekah dan Sejarah Madinah.  Ketika berurus niaga penjual itu bertanya negara asal saya, "Susilo?  Mahathir?"  Wah, mereka bertanya berdasarkan nama pemimpin negara.  Susilo merujuk kepada Presiden Indonesia manakala Mahathir merujuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia.  Malangnya mereka tidak mengenali Najib barang kali.

Tiada ulasan: