Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mei 17, 2012

Perjalanan Rohani 11


Antara waktu Zohor pada 12.00 tengahari dan Asar 4.30 petang merupakan saat berbahang pada orang Malaysia yang tidak biasa dengan cuaca panas Madinah.  Sela waktu yang panjang itu sesuai untuk berehat.  Makan tengahari itu sampai selepas Jumaat.  Nasi bersama kari ayam dan sayur dalam bekas plastik lutsinar yang terbahagi kepada 3 bahagian.  Alhamdullillah.  Sungguh pun hidangan itu enak sekali tetapi terasa janggal menikmati hanya tiga beranak di dalam bilik.  Tidak perlu merungut, bersyukur walau hati diulit bimbang kerana hari pertama berlalu tanpa ziarah dalam.  Kami hanya akan ziarah luar itu pun akan menumpang rombongan umrah yang masih belum tiba lagi.  Untuk hari ini, pandai-pandai lah bergerak sendiri.  Waktu tidur di tanah suci ini terlalu singkat.  Apa yang perlu direbut adalah waktu beribadah.  Hampir-hampir saja kami terlepas solat Asar, mujurlah suara azan jelas kedengaran di bilik yang berhadapan dengan Masjid Nabawi pada bahagian pintu wanita.  Selepas berwuduk kami pun bergerak ke masjid.


Air zam zam dalam bekasnya seperti di atas amat menggoda.  Telah didinginkan, seperti minum air dari peti sejuk dan rasanya amat nyaman sekali.  Tiba di Masjid Nabawi setelah menyimpan kasut dalam uncang pada rak yang disediakan, air zam zam lah yang di tuju.  Ketika mahu meninggalkan masjid selepas selesai solat, air zam zam juga lah yang di tuju.  Kebiasaannya ada yang membawa botol kecil, menadah air zam zam untuk minuman seharian.  Awas, jangan bawa botol besar, nanti dicampak pegawai masjid.


Pintu utama ini menjadi tempat berjanji dengan Aiman selepas solat dan kemudian kami menunggu Saripah di depan pintu wanita.  Petang itu selepas solat Asar, kononnya menunggu hari agak teduh untuk berjalan sekitar masjid Nabawi tetapi terik matahari masih terasa.  Kami berjalan bertiga, beriringan di persisiran luar masjid, rupanya perkuburan Baqi berhampiran.  Kami terus berjalan menuju ke bangunan souk atau pasar di hujung dataran terbuka.  Cukup luas dataran tersebut, hampir menyamai dua buah padang bola sepak.

Perkara pertama yang kami cari, makanan.  Laparnya Allah sahaja yang mengetahui.  Setelah mencari-cari, akhirnya menemui sebuah kedai kecil menjual kebab Turki.  Beli tiga kebab, daging yang diisi bersama sayuran ke dalam roti yang di bakar, 3 riyal satu.  Dengan tiga biji kebab dan tiga cawan air campuran buah-buahan, kami bersila di kaki lima souk.  Kebab dan air diagihkan kepada kami dalam dulang dari lebihan kotak terpakai.  Sambil menikmati kebab, mata tidak lepas-lepas memandang kubah hijau Masjid Nabawi.

Tiada ulasan: