Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Mei 14, 2012

Perjalanan Rohani 10



JUMAAT pertama di Madinah benar-benar terisi.  Kami pulang ke hotel dhuha itu dengan perasaan yang sungguh senang.  Jalan bagai melayang-layang, terasa sangat bahagia seperti tidak berpijak di bumi.  Masih teringat-ingat saat-saat manis beribadah di Raudah.  Benarlah kata orang, beribadah di Masjid Nabawi, berhampiran dengan Rasullullah SAW seolah-olah bagai beribadah bersama baginda.  Kami seolah-olah enggan melepaskan ruang sempit yang terasa sangat lapang itu.  Ingin berdoa panjang-panjang.  Ingin solat sunat sebanyak mungkin tetapi kami juga perlu memberi ruang kepada orang lain yang sedang menunggu dengan sabar.  Ia saat-saat manis beibadah, air mata mengalir tidak mungkin dapat diempang.  Sampai bila-bila, kemanisan beribadah di Raudah tetap kekal dalam ingatan.

Sampai di hotel, tiga bungkus nasi lemak sudah menunggu di depan pintu bilik.  Enak sungguh rasanya nasi lemak madinah dengan jenama bin dawood.  Beras panjang dan cukup rasa pedasnya.  Timun ular seperti timun yang biasa ditanam di Cameron Highlands.  Kata isteri, entah-entah timun yang diimport dari sana.  Sarapan pagi itu bubar, masing-masing mahu melelapkan mata sekejap.  Ada dua jam lagi sebelum masuk waktu Solat Jumaat.  Wah, nampaknya masa sangat berharga.  Jika di tanahair, ibadah jadi perkara nombor dua - di sini wahid.  Sering kali kita melambatkan ibadah solat hanya kerana mendahulukan kerja.  Waktu Asar yang masuk sekitar 4.20 petang, kita lambat-lambatkan.  Hanya solat selepas sampai ke rumah sekitar 5.30 petang.  Jika menempuh kesesakan jalanraya - bagi yang tinggal di bandaraya, bagaimana?  Di sini, azan berkumandang dan para penjaja menutup barang-barang jualan.  Pekedai runcit di bahagian tepi hotel menarik gril turun dan mengunci, lalu berjalan ke masjid.  semuanya terburu-buru menuju ke arah yang satu.  Kita di tanahair, adakah kita terlalu jauh dari Mekah dan Madinah?  Bayangkan jika  perkhidmatan kaunter ditutup sementara dengan tanda 'waktu solat'.  Alangkah indahnya jika begitu.

Wakyu solat Jumaat semakin hampir.  Ayat-ayat suci dialunkan pembesar suara jelas hingga ke bilik hotel.  Kami bertiga menuju ke masjid.  Buat isteri, itulah Solat Jumaat pertama pernah dilakukannya.  Yang lebih manis solat Jumaat itu ditunaikan di Masjid Nabawi.  manusia terlalu ramai.  Mungkin mereka datang sejam atau dua jam lebih awal.  Saya dan Aiman mendapat tempat agak keterbelakang, bersembadan dengan ruang yang memisahkan bahagian lelaki dan wanita.  Hampir tidak menemui wajah-wajah selain Arab.  Semuanya berjubah putih, berserban kotak-kotak kecil merah dengan wajah-wajah yang bersih.  Anak-anak muda Madinah yang beriman.  Hampir setiap tiang disediakan rak-rak kasut dengan nombor-nombor jawi dan rumi.  Kasut dimasukkan ke dalam bunjut kain dan disimpan di rak.  Ingat nombor rak itu jika tidak kita tidak akan menemui kerana rupa tiang dan rak kasut serupa bentuknya. 

Khutbah Jumaat tidak panjang, cukup ringkas dan tidak mendodoikan mata walau pun seluruhnya dalam bahasa Arab.  Tidak berdegar-degar bagai mahu berperang seperti yang berlaku di tanahair.  Seruannya menginsafkan, menyeru insan bertakwa.  Bacaan surah selepas fatihah menggetarkan dada.  Ya Allah, kami beribadah hanya pada Mu, untuk keredhaan Mu jua.

Tiada ulasan: