Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, April 22, 2012

Nasihat Pak Man

Sejak beberapa minggu lalu saya menulis tentang Nasihat Pak Man di facebook.  Ramai sahabat saya yang mentafsirkan pelbagai.  Nasihat Pak Man ternyata satu protes dalam penulisan yang sangat berguna terutama nasihat itu ditujukan kepada orang yang membaca.  Siapa Pak Man?  Di tanah tinggi ini Pak Man Sate agak terkenal.  Selain dari hanya seorang penjual sate di Brinchang, Pak Man juga setiausaha polis pencen, siak dan bilal, tukang mandi jenazah dan drebar van jenazah sekali gus, jawatankuasa itu dan ini secara keseluruhannya 16 jawatankuasa.  Pak Man sangat aktif dalam soal kebajikan dan kemasyarakatan.  Ternyata mendapat pengiktirafan sehingga dikurniakan pingat oleh Tuanku Sultan.  Kata seorang kawan, saya perlu membayar royalti kepada orang tua ini.  Tetapi Pak man bukanlah seorang materialistik,   Bukan mencari keuntungan semata-mata – hidup dan mati hanyalah kerana Allah.

Hidup bukan semata-mata untuk kepentingan dunia sahaja.  Hatta berniaga sate seperti Pak Man bukan sekadar untuk untung tetapi untuk menyara hidup supaya dapat beribadat kepada Allah dengan tenang.  Kenapa saya menulis tentang nasihat Pak Man?  Ia berpunca dari sikap manusia yang sanggup berbuat apa sahaja demi untuk RM.  Ternyata kehadiran saya di kalangan menimbulkan rasa tidak senang insan ini.  Bisnes barangkali akan terjejas teruk jika saya tidak dikuasai sebagaimana insan ini telah menguasai orang lain yang lebih berpengaruh.  Untuk menguasai pada zaman baru menggunakan kuasa iklan dan kehendak pasaran, pada zaman gelap yang terdahulu hanya melalui kuasa mistik.  Kadang-kala saya terfikir, ah, kenapalah saya terhambat dengan sitiuasi ini.

Melalui nasihat Pak Man, saya cuba mengutarakan bahawa rezeki itu sudah ditulis.  Allah menjadikan kita hamba-hamba Nya bersama rezeki untuk kita menyambung hidup.  Asalkan kita berusaha dan bertawakal, adalah jalan yang dilorongkan untuk kita mendapat rezeki di dunia ini.  Tuhan Maha Adil dan Dia lah Pemberi Rezeki.  Bukan kah itu salah satu nama Allah dari 99 nama.

Menggunakan kuasa mistik bukanlah jalan penyelesaian.  Menjadikan orang lain menderita sekeluarga untuk kita mengaut kesenangan umpama seorang pengecut yang gagal bertanding di gelanggang.  Mempengaruhi orang yang berkuasa untuk kepentingan diri sendiri juga salah satu bentuk penyelewengan.  Jika mulut kita menyatakan pemimpin itu, Dato Seri itu menyeleweng atau mengamal rasuah – jadi apa bezanya dengan diri kita yang menggunakan khidmat bomoh siam, batin orang asli dan dukun?  Maka taraf kita sebagai manusia diinjak-injak bukan lagi sebagai hamba Yang Maha Kuasa tetapi hamba syaitan yang tidak berpangkat pun. 

Seperti seorang surirumah yang memasak, jika selama ini sudah menjadi kebiasaannya memasak menggunakan MSG – atau dalam jenama yang terkini dalam pasaran, ajinomoto, cukup rasa atau apa saja janji sedap, maka surirumah itu akan terus memasak dengan cara itu.  Jika suatu hari si suami meminta jangan memasak dengan bahan perasa, dia seperti tidak berkeyakinan masakannya akan sedap seperti selalu.  Begitu juga dalam hidup ini, tanpa konsep tawakal dan berserah kepada Nya setelah kita berusaha – akan berlaku lah nilai diri seperti surirumah memasak dengan MSG tadi.  Kita mungkin berniaga dengan membuka restoran tetapi kita merasa amat tergugat dengan pembukaan sebuah restoran berdekatan.  Dan untuk mengekalkan pelanggan sanggup menggunakan kuasa mistik seperti pelaris.  Sedangkan untuk mengekalkan pelanggan atau menambah pelanggan, dua perkara yang mesti dilakukan adalah penambahbaikan kualiti dan servis.  Jadikan restoran itu restoran yang menjadi destinasi kemestian setiap orang.  Bukan menggunakan kuasa mistik seperti pelaris, atau menabur tanah kubur depan restoran orang dan seribu perkara syirik yang lain.

Kata seorang teman yang handal bersilat dan bergendang, Serunai Faqir, ilmu mistik itu permainan orang Melayu.  Kata saya jika benar kuasa mistik itu benar-benar berkuasa – kenapa tidak gunakan untuk membunuh yahudi yang menubuhkan negara haram Israel.  Ternyata kuasa mistik ini hanya berfungsi untuk menjahanamkan bangsa sendiri.

Saya menghormati seseorang seperti Pak Man.  Sangat sederhana tetapi nasihatnya ternyata beguna untuk menjalani kehidupan ini – biar diredhai.  Pak Man sering berkata, khidmatnya dalam berbagai jawatankuasa, bukan lah semata-mata untuk mencari nama tetapi menyumbang kepada masyarakat.  Biar hanya sebagai orang yang memandu van jenazah ke tanah perkuburan tetapi bukankah kehadirannya sebagai seorang pemandu van jenazah ketika itu sangat-sangat dihargai oleh keluarga si mati.  Buat sang sahabat saya itu, cukup lah apa yang berlaku.  Saya tak ingin terus terhambat dalam situasi ini dan telah memutuskan untuk berundur kerana saya dalam sepanjang hidup ini percaya, rezeki sentiasa ada di mana-mana.  Hanya dengan izin Allah jua.  Kepada anak-anak dan isteriku yang menerima kesan yang amat menyakitkan ini, saya terasa amat bersalah kerana menjelumuskan kalian dalam hambatan ini.  Saya memohon keampunan Nya.  Kita semua hanya bakal-bakal jenazah suatu hari nanti.



Bandar Tun Razak, Pahang.

Tiada ulasan: