Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mac 15, 2012

Seorang Gadis dan Anjing



Hari itu amat menjengkelkan.

Seorang gadis kecil dikurung dalam kurungan (adakah perkataan ini lebih mulia dari kandang?) yang hanya seluas 5 kaki lebar, 5 kaki panjang dan 5 kaki tinggi.  Kulitnya kuning langsat kepucatan, rambut dipotong pendek sehinggakan kami menyangka dia seorang anak lelaki.  Belakangnya sudah berbekas dawai, lantaran sepanjang hari bersandar pada jaring yang berkotak-kotak itu.  Bayangkan enam jam sehari bersandar, selama hampir enam bulan.  Bukan kotak dam yang kelihatan di belakangnya, tetapi sudah menjadi kesan-kesan merah kehitaman.

Kisahnya begini.

Jia sudah tidak boleh dikawal lagi.  Si bapa, Ah Hock mahu bekerja.  Bengkelnya hanya di sebelah kurungan.  Sebuah bengkel motorsikal yang serba sederhana.  Kata orang kampung itu, Ah Hock hanya tahu menukar tiub jika tayar bocor dan menggantikan yang mudah-mudah.  Mentol terbakar atau palam pencucuh yang sudah berkarat.  Bukan membaiki enjin, jauh sekali jika perkara-perkara yang lebih rumit.  Pelanggannya orang yang terdesak, pancit di tengah jalan biasanya.  Kita boleh fikirkan lah berapa sangat pendapatannya.

Jia dilahirkan sebagai kanak-kanak terencat akal, Ah Hock tidak tahu apa yang harus dilakukan.  Dia bukan orang berpelajaran.  Hanya orang kampung.  Mengisi perut anak-anak lebih penting dari memikirkan hal Jia.  "Fikir-fikir apa mahu buat pun lama-lama boleh jadi gila," katanya.  Jia membesar dengan dunianya sendiri.  Keluarga itu menemui seekor anak anjing dan Jia membesar dengan anak anjing itu.  Hingga satu ketika anjing itu lebih besar dari Jia.  Mereka terlalu akrab.  Dan Ah Hock sangat mempercayai anjing itu.  Setiap pagi selepas Jia disuap sarapan, gadis itu akan berlari masuk ke dalam hutan.  Rumah bengkel tempat mereka tinggal bersebelahan dengan hutan besar.  Jika Jia menghilang dalam hutan itu, tidak mungkin dapat dicari.  Anjing itu lah yang menemani.  Lewat petang, setelah Ah Hock menutup bengkelnya, dia akan mencari Jia.  Caranya dengan memanggil-manggil nama Jia dan sang anjing yang menyahut dengan salakan.  Di situ lah Jia bersama sang anjing yang setia.

Malangnya sang anjing terbunuh kerana dilanggar kereta suatu malam.  Entah pemandu mabuk mana yang melanggar, tak siapa tahu.  Jia bagai hilang akal.  Temannya paling setia telah tiada.  Dan bila Jia berlari masuk ke dalam hutan sendirian, tanpa temannya, sang anjing, Ah Hock pula yang hilang akal kerana gagal mengesan anaknya itu.  Pernah Jia tidak pulang dua hari.  Kelaparan sendirian bermalam di dalam hutan.  Akhirnya Ah Hock terpaksa mengurung Jia.

Begitu lah kisah seorang OKU yang dinafikan hak mendapat pendidikan.

6 ulasan:

Dunia Firdaus berkata...

Manusia diduga mengikut kemampuan

Siti_btp berkata...

Kerana kemiskinan menyebabkan ayahnya melakukan sedemikian..

Ayahnya tetap sayang pada Jia..
Jia ni mungkin Autisme lurus akalnya, kalau dia biasa ke hutan,dia akan buat perkara yg sama setiap hari ..

Sek Pendidikan Khas jarang ada di kg,kalau ada pun mungkin tak terlatih spt di bandar..

Saya mempunyai 3 anak istimewa yg berlainan karektor..Pernah terfikir utk mengurung anak tapi dlm bilik je..

Anak sulung saya bersikap ganas pada org sekeliling termasuk saya.Apa benda di tangannya dibaling kat kita..

Pelbagai perubatan Islam saya temui utk mengubatinya dan iktiar dgn ayat2 Ruqiyah dr kami ibubapanya..

Kalau En di tempat saya apa yg akan En lakukan..Moga jadi motivasi utk saya sekeluarga
http://suarahatidanceritaku.blogspot.com/

mohamadkholid berkata...

sdr siti_btp,

Bukan mudah menjadi ibubapa anak istimewa, org hanya berat memandang tetapi kita lebih berat memikul. Saya bukanlah bagus memberi nasihat kerana saya sendiri kadang-kadang tewas dalam perasaan serba-salah dan selalunya saya fikir, kita hanya manusia - itulah kelemahan kita manusia. menjadi ibubapa kepada anak istimewa kita mesti dua kali lebih istimewa. Cubaan Allah di dunia ini pasti sekelumit cuma, sedang panas api neraka diakhirat nanti dari jauh perjalanan 70 tahun pun sudah tak tertanggung. Moga anak istimewa ini kelak akan membantu nasib kita di akhirat. Mengenangkan ini membuatkan saya selalu menitiskan air mata...

Haji Mas'ud Al Buaya berkata...

Ah Hock mempunyai hubungan yang panjang dan erat dengan Pekerja Sosial. Beliau sebenarnya lebih mempercayai Pekerja Sosial dari YB yang hanya datang melawat apabila mempunyai keuntungan politik dan dekat dengan musim pilihanraya.

gunu kumar berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
mkriza berkata...

Tuan,
sebuah kisah yang menginsafkan kita. Benarlah... hanya orang merasai derita benar-benar tahu tentang derita yang ditanggungnya