Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, Mac 13, 2012

Dirang


Alfatehah untuk anakanda Dirang.
Nenek Dirang menangisi tempat ditemui.


Zaman kanak-kanak kami dahulu zaman yang penuh dengan keriangan walau pun ibubapa kami rata-ratanya bukanlah orang senang.  Rumah pun berlantai kayu yang dipaku jarang-jarang.  Jika tiada tikar, boleh mengintai ke bawah rumah.  Pagi-pagi lagi, selepas sarapan ubi rebus atau pisang rebus atau pulut dengan kelapa parut, kami akan keluar bermain.  Bermain pula ikut musim.  Bukan orang Eropah sahaja yang merasai empat musim - summer, spring, winter dan autumn.  Kami ada musim ikan laga, musim guli, musim gasing, musim senapang batang bemban, musim memancing puyu dan banyak lagi lah.  Tak ada musim durian sebab kampung kami cuma ada pokok kelapa dan pokok pisang.  Pokok mempelam banyak tetapi di sawah orang... 

Jika pagi-pagi sudah keluar, hendak masuk waktu Zohor baru pulang ke rumah.  Itu pun kerana perut lapar.  Ke mana kami pergi, ibubapa kami tak pernah risau.  Mungkin ke baruh melastik burung.  Atau ke sawah memancing puyu atau menggagau udang, mungkin juga ke hujung kampung memasang jerat ruak-ruak.  Ibubapa kami tak pernah pun risau. 

Lepas makan tengahari yang biasanya hanya berlauk ikan kembung cekik leher atau telur itik goreng dadar.  Itu lebih beruntung berbanding nasi berlauk garam.  Kami akan menghilang lagi, menyambung permainan pagi hari atau permainan baru dan berakhir bila Asar makin tua dengan berendam di dalam parit.  Hidup zaman kanak-kanak kami memang benar-benar indah biar pun serba kekurangan.  Pintu rumah sentiasa terbuka, tidak berselak walau pun ibu ke telaga membasuh kain, bapa ke kebun menebas dan kami bermain entah ke mana. 

Sekarang, pintu berjeriji besi, berselak dan berkunci mangga yang terbaik dari luar negara.  Tingkap juga berjeriji, hatta tingkap kecil di tandas pun berjeriji.  Jika berlaku kebakaran agaknya tuan rumah boleh rentung, terpenjara dalam rumah.  Anak-anak bermain dalam rumah - jarang keluar.  Hatta keluar sekejap ke kedai pun boleh hilang.  Tahu-tahu polis datang minta DNA.  Entah bagaimana negaraku ini boleh dikatogerikan ke 19 ter-aman.  Bagaimanakah penilaian dibuat agaknya?  Adakah ujian penilaian ter-aman itu bocor?  Aduhai negaraku...

4 ulasan:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Segera saya teringat zaman kecil saya. Zaman yang indah dan menyeronokkan

Dunia Firdaus berkata...

Terkesima lah aku

mohamadkholid berkata...

Norziati, zaman kecil kita berbeza dengan anak-anak zaman kini...

Firdaus, itulah kisah budak kampung yg bebas tetapi itu dulu...

Siti_btp berkata...

Saya bukan budak kampung tapi tinggal di pinggir bandar kawasan setinggan..

30 tahun lalu ,teringat zaman kanak2 main tepi lombong cari ikan pelaga..
Bila lapar panjat pokok jambu merah yg tumbuh liar..makan atas pokok

Bila haus minum air perigi..
Bila bosan main tembak2 guna peluru buah pokok ubi gajah..

Tapi ketika itu tiada kanak2 yg obesiti sebab mrk aktif..
Bila magrib sama2 ke surau..
Jiran 2 tak kira bangsa tegur menegur..
Tiada kanak2 dibunuh, kecurian biasalah..
Saya rindukan zaman tu!!