Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Sabtu, November 19, 2011

Tengkujuh



TENGKUJUH telah kembali.  Hujan di tanah tinggi ini tali temali, bersambung dari tengahari, lanjut ke petang dan sampai tengah malam.  Kadang kala langit cerah, cahaya mentari menyilau tetapi hujan renyai bagai debu berguguran.  Seperti embun jantan pada awal dinihari.

Ketika ini aku teringat kampung halaman di Tanjong Karang.  Ketika kami kecil, cuti sekolah dan musim hujan seiring dan sejalan.  Keseronokan cuti sekolah kadang kala terbantut dek hujan yang berpanjangan.  Selalunya kami berkumpul di bawah rumah, tak kira lah rumah siapa asalkan ada tanah berlubang-lubang, sejenis serangga di panggil orong-orong jadi permainan.  Atau labah-labah hitam jadi taruhan berlaga.  Jika hujan renyai dan air parit naik, banyak aktiviti lain yang menyeronokkan seperti bermain kapal layar, badan kapal dari tempurung kelapa dan layarnya dari daun keladi.  Abang-abang yang lebih besar bermain rakit batang pisang dan adik yang kecil terpaksa merengek atau mengugut akan beritahu emak untuk dapat naik.

Ketika musim tengkujuh juga, perut bagai sentiasa mahu diisi.  Masakan berasaskan ubi paling utama kerana pokok ubi akan dicabut sebelum di tenggelami air.  Ubi rebus, pengat (olak) ubi, ubi ketuk, ubi goreng...  Sampaikan makan pun ubi masak lemak. 

Musim tengkujuh, memang kami rindukan bau ubi rebus cicah sambal ikan bilis atau ikan masin...

2 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

bang kholid, hujan memang penyimpan kenangan.

radziah AR berkata...

rindunya suasana dulu.....