Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, September 13, 2011

Suatu Petang Saya Menjawab

Anda  kini telah memadamkan akaun facebook dari tatapan umum.  Apa sebenarnya yang berlaku?

Facebook merupakan satu wadah yang menghubungkan sahabat handai, malah saudara mara saya juga yang selama ini tidak pernah kami berhubung hatta melalui telefon.  Bukan niat saya hendak memadamkan terus tetapi untuk sementara waktu.  Saya perlu 'unfriend' orang-orang tertentu yang berselindung sebagai kawan.  Ia bukan proses yang mudah.  Juga penutupan sementara ini memberi ruang kepada saya untuk diam dalam dunia saya sendiri, tanpa gangguan.

Tidak kah rasa sunyi, saya lihat anda gunakan iphone tapi tidak berhubung dengan facebook?

Sunyi juga tetapi saya suka kepada kesunyian.  Saya risau jika saya tersalah komen dalam facebook, ada berbagai tanggapan buruk yang datang.

Anda sedang menulis novel baru?  Boleh saya tahu tema novel tersebut?

Yang pasti bukan cinta walaupun ada intipatinya cinta.  Novel sejarah tentang tahun-tahun 1940 - 1945, iaitu ketika Sahabat Pena membuat pertemuan yang pertama di Taiping sebelum wujudnya Kesatuan Melayu Muda.  Tahun-tahun penuh dalam gelora bila negara 'abang' sudah bangun menuntut kemerdekaan, sedang negara 'adik' baru terjaga dari tidur.  Novel itu paling rumit kerana banyak penyelidikan perlu dibuat berbanding novel Kabus di Perbukitan yang aspek sejarahnya dalam lingkungan sepuluh peratus.  Novel ini hampir keseluruhannya kisah masa lalu.

Anda mengembara atau menemubual untuk menulis novel ini?

Mengembara ke Taiping, Ipoh, Melaka untuk mendapatkan semangat.  Temubual, tidak.  Bahan bacaan banyak saya dapati dari buku-buku nadir kisah perang dunia ke dua.  Ia bukan kisah benar, tak perlu wawancara.  Lagi pun saya bukan wartawan yang perlu melaporkan kebenaran.  Penulis kreatif akan mencipta imiginasi.  Jadi tuan jangan bimbang, karya saya ini tidak akan memudaratkan.  Ia wajar dibaca untuk melihat sisi lain fiksyen sejarah, kisah golongan marhaen bukan aristokrat.

Saya telah membaca novel-novel anda, bukan novel penyiasat ekstrovert tentunya.  Saya melihat unsur Melayu yang sangat kuat.  Tidak kepada wajah-wajah yang lain... Kenapa begitu?  Tidak mendokong aspirasi 1Malaysia?

Saya tidak setuju, tuan mungkin tidak baca habis novel saya, sekadar selak-selak barangkali.  Tak cukup masa untuk meneliti semua.  Dalam Kabus di Perbukitan, saya bukan sahaja menulis tentang Melayu tetapi bangsa-bangsa lain, Arab, orang putih dan sebagainya.  Dalam Rahang Maut, watak utamanya seorang berbangsa Cina.  Dalam novel Desir Angin di Pergunungan, juga watak berbangsa Cina menjadi sebahagian watak utama.  Saya bukan bersifat perkauman tetapi mendukung semangat nusantara.

Semangat nusantara?  Boleh anda jelaskan?

Keturunan kami berasal dari Tanah Jawa, begitu juga sebahagian besar orang Melayu kini.  Ada dari Bengkulu, dari tanah Minang, dari Aceh.  Malahan PM kita sendiri dari Makassar.  Itu tanah leluhur nenek moyang kita.  Tiada Malaysia atau Indonesia tetapi ketika itu keseluruhannya nusantara.  Kepulauan Melayu.  Kenapa ada orang yang dangkal ilmunya mengatakan orang Melayu di negara ini bukan berasal dari sini?  Sedangkan ketika itu, hanya ada satu negara, satu kepulauan yang semua orang apa juga keturunan dari rumpun ini tinggal.  Perlu diingat, kerajaan Melaka - kerajaan yang melangkaui sempadan dua negara ini.  Bangsa lain yang datang kemudian, dari benua mana pun bukan asal tanah ini, sewajarnya mengakui hakikat ini.  Salahkah yang apa yang saya katakan?

Er...  Tak salah...  Tapi itu tidak bersifat perpaduan...

Perpaduan apabila kita memahami orang lain.  Bukan sekadar memenuhi selera sendiri.  Bukan mementingkan diri sendiri.  Yang penting pendidikan, berpendidikan akan menjadikan insan terbuka.

(wawancara seterusnya tidak dapat ditulis, 18SX, 18 PL dan sebagainya...)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam...

Saya ingin menghubungi pihak tuan berkenaan majlis diskusi novel 'Mengejar Pelangi Pagi' yang bakal diadakan di UKM pada bulan hadapan. Saya amat berbesar hati sekiranya tuan dapat meluangkan masa menghadiri majlis tersebut. Harap pihak tuan dapat memberikan alamat emel untuk saya hubungi. Terima kasih

mohamadkholid berkata...

telaga_emas@yahoo.com
012-2712906