Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Ahad, Julai 10, 2011

Ragam Si Pesara


Gerai Cikgu, sebab pemiliknya pencen cikgu sekolah memang jadi tempat pertemuan orang yang baru balik dari Solat Subuh di masjid.  Ada juga yang mengelat ke masjid tetapi tetap datang juga ke Gerai Cikgu untuk bersarapan pagi.  Antaranya Pak Mior yang ke sana ke mari dengan motorsikal honda 'EX5 bukan dream', EX5 model lama yang dibeli zaman kerja posmen lagi.  

"Kau ni ada kereta tapi motor juga yang kau pakai, Pak Mior.  Kereta kancil tu biar berabuk saja dalam garaj," tegur Pak Imam Khairul, cikgu sekolah menengah yang selalu bertindak jadi imam.  Masih muda, belum masuk kumpulan orang-orang pencen lagi.  

"Nak buat macam mana, Imam.  Dulu kerja posmen.  20 tahun bawa motor.  Brum sana, brum sini...  Dah pencen pun terbawa-bawa perangai tu," balas Pak Mior, orang kampung panggil Pak Mior Posmen.  Pak Dan Warden yang minum kopi pekat tanpa gula hampir tersembur ketawa mengekeh.  

"Macam Pak Dan Warden lah tu, dah pencen warden penjara 10 tahun.  Jadi siak masjid.  Asal lepas Isyak, hendak katup pintu dengan pasang mangga.  Kadang-kadang dah balik rumah, datang balik masjid sebab takut terlupa mangga pintu masjid," kata Imam Khairul tersenyum.  

"Kalau Pak Imam nak tahu, Pak Dan ni, bukan sahaja pintu pagar rumahnya bermangga, pintu gril rumah, tingkap, sampaikan reban ayam pun bermangga!" sambut Pak Yassin Drebar.  "Mana kau tahu, Pak Yassin?" tanya Imam Khairul.  "Dia kan jiran saya..."

Habis semua yang sedang minum pagi itu tertawa, termasuk yang paling kuat Pak Mail Kebajikan, ketua peneroka kampung melayu.  Dia-diam dia teringat perangainya, pantang nampak orang mengemis, pasti hendak telefon pejabat kebajikan suruh cekup - bawa ke Desa Bina Diri kat Jerantut atau Mersing.  Sebab dia pun dulu pegawai kebajikan, asyik operasi 'menyelamat' pengemis saja...

(Gambar diatas, Hemingway sedang mengarang pada usia persaraan.  Ingat - penulis tak pernah bersara!)

Tiada ulasan: