Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Rabu, Mei 12, 2010

SEGALANYA KERANA CINTA

“BAGAIMANA aku harus menghalangnya?”

Tidak ada, Yusouf. Tiada jalan lain. Kau pun tahu percintaan walau sepahit mana pun tetap menjadi madu kepada penghirupnya.

“Dia anak yang membelakangiku, membelakangi agama dan norma sosial bangsa Melayu.”

Bukankah percintaan itu menjadikan segalanya berkemungkinan, Yusouf. Tentu kau masih ingat cinta terlarang, cinta pertamamu dahulu.

Cinta pertama, cinta yang paling indah. Elyn Melton, gadis South Australia. Lincah, suka melemparkan senyuman tanpa prejudis terhadap wajah Asiaku.

“Jemput ke laman rumahku hujung minggu ini.” Aku terkaku. Mendapat jemputan dari mulut comel anak seorang pensyarahku. Angguk.

“Please bring a plate”. Dia berlalu tanpa sempat aku bertanya. Majlis barbeque di laman rumah Elyn gempar apabila seorang pemuda Melayu hadir dengan sebuah pinggan kosong. Begitulah percintaannya bermula. Budaya berlainan menjadikan peristiwa itu melucukan. Apa yang dimaksudkan Elyn aku perlu hadir dengan membawa sedikit buah tangan untuk majlis tersebut. Kami jadi akrab dan perlahan-lahan perasaan sayang menyelinap ke sanubari. Cinta mengubah suasana pengajianku. Hari-hari yang berlalu begitu indah dan asyik tanpa sedar aku telah sampai ke penghujung pengajian.

“Kahwin?”

“Ya, kita berkahwin. Ada sebuah masjid di Sidney. Aku kenal baik dengan Imamnya. Kita boleh berkahwin di sana.” Elyn diam. Wajahnya yang manis dan riang tadi perlahan-lahan menjadi kemerah-merahan.

“Baiklah, kita berkahwin tapi…”

“Tapi apa ? Katakan sahaja, pasti aku menurut.”

“Aku ingin terus tinggal di sini. Australia tanahairku.”

Aku serba salah. Namun ketika itu cinta adalah segala-galanya. Kami akhirnya diijabkabulkan. Air mata Elyn menitis sewaktu aku melafazkan akad. Dia sendirian tanpa ditemani ibubapanya. Cinta tanpa restu dan hanya dapat bertahan sehingga penghujung pengajianku. Begitulah kisah cintanya berakhir. Yusouf tidak rela terus tinggal di Australia, cinta bukan segala-galanya. Aku belajar dengan biaya JPA dan aku tidak mahu memungkir janji kepada ibu. Ibu yang telah ditinggalkan empat tahun di Batu Pahat. Di kampung halaman nantilah seharusnya aku menabur bakti bukan hanyut di negara orang. Episod ini akan berulangkah? Kepada anak kesayangannya, Iz kinikah?

“Ayah memang tidak mahu memahami.”

“Bagaimana ayah harus memahami, Iz ?”

“Ayah hanya perlu merestui pilihan Iz.” Iz menyeka airmatanya.

“Ayah tidak akan merestui. Kau tidak pernah kenal, malah kau tidak pernah menemuinya. Bagaimana kau akan mengahwininya?”

“Setiap hari Iz menemuinya, ayah. Bersembang, bertukar-tukar pendapat malah Iz rasa Iz begitu serasi dengannya, ayah.”

“Kau di sini dan dia di mana?”

“Melbourne.”

Ya Allah, bagaimana ini harus terjadi kepada keluargaku? Iz merenungku dengan harapan. Aku harus menerima kenyataan bahawa anak gadis kesayanganku ini bercinta di alam siber. Salah siapakah semua ini, teknologikah atau salah pemimpin negaraku yang membawa konsep langit terbuka? Dia membesar sendirian. Selepas kematian ibunya, aku mengambil keputusan untuk tidak berkahwin lagi. Iz membesar dengan didikan pembantu rumah.

“Esok Iz akan berangkat ke Melbourne. Lusa Iz akan berkahwin dengan Daniel.” Hanya sedu sedan mengiringi pemergian Iz. Aku bungkam. Berjam-jam duduk merenung pintu yang terbuka setelah Iz pergi dengan dua buah beg besar.

Rumah sunyi, muram dan terbiar. Jendela-jendela terbuka dan terkatup sendiri. Selang sehari Ain datang. Mengemas dan memasak lauk kegemaranku.

“Mana cucuku?”

“Hazziq ke sekolah hari ini, ayah.”

Dan aku kembali ke kerusi malas. Termenung menyelongkar ke dalam diriku. Iz sering menghubungi Ain melalui e-mail bertanya kenapa aku tidak membalas e-mailnya. Aku benci melihat komputer yang selama ini terbiar di bilik bacaan itu. Esok akan ku berikan kepada anak jiranku, Ustaz Abdullah.

“Kau ambil komputer ini, boleh gunakan untuk buat kerja sekolah.” Pemberianku hanya disambut dengan wajah tercengang-cengang.

“Ambil. Katakan pada ayahmu pakcik yang beri.” Gesaku sambil tanganku pantas mencabut plug. Anak itu menyambut dengan kegirangan dan hatiku berdetik. Semoga kau tidak menjejaki anakku. Ayahmu seorang yang warak yang mampu membimbingmu.

“Ayah berikan komputer itu pada jiran?” Ain kehairanan. Aku hanya mengangguk. Ain berlalu ke dapur dengan wajah yang gusar. Mungkin dia kesal kenapa tidak diberikan kepada anaknya.

Ain, aku sayang kepada cucuku. Aku tidak mahu mereka mengikut jejak Mak Usunya.

“Encik Yusouf berserah sahaja kepada Allah. Berdoalah supaya menantu Encik Yusouf itu menjadi seorang yang patuh kepada agama kita.” Ustaz Abdullah menepuk-nepuk bahuku.

“Dia seorang sahaja anak saya, Ustaz. Lari pula ke Australia untuk berkahwin dengan mat salih. Entah apa agama anutannya?”

Iz, kalaulah kau tahu betapa sepinya ayah kini. Ibumu telah lama pergi dan kemudahan di taman perumahan pinggir bandar amat sunyi. Hanya seorang dua jiran kita yang sudi menjadi temanku berbual.

“Sekurang-kurangnya Ain selalu menjenguk Encik Yusouf.” Ustaz Abdullah memberi harapan.

Ain sememangnya anak yang baik. Betapa sibuk pun dia menguruskan rumah tangga, dia tetap menjengah ayahnya. Ain bukanlah anak kandungnya, Ain tetap mengasihinya walaupun semasa mereka kecil sering dia membeza-bezakannya dengan Iz. Iz anak tunggalnya, anak yang diharapkan akan menjaganya pada hari tua. Kini Iz telah pergi mencari cinta siber.

“Ayah tinggallah dengan kami.” Ain mengharap.

“Tak mengapalah Ain. Ayah lebih senang tinggal di sini.” Rumah mereka kecil. Rumah murah yang mempunyai hanya dua bilik. Di mana pula cucuku akan belajar nanti? Suami Ain seorang pekerja kilang, pendapatannya rendah tetapi kehidupan rumahtangganya amat bahagia dan serba sederhana. Tidakku sangka Ain yang sering menjadi sasaran kemarahanku dulu, kini terlalu mengambil berat sebaliknya Iz pula pergi tanpa kerelaanku.

Dua

Kasih seorang ayah membawa aku kembali ke bumi Australia. Penerbangan MAS dari KLIA serasa begitu lambat sekali. Ayah datang seorang diri, Iz. Hanya dengan beg sandang dan baju sejuk. Teksi melalui jalan yang dinaungi rimbunan pepohonan.

“Tuan hendak ke Morningside, bukan?” aku hanya mengangguk.

“Pemandangannya amat menarik sekali. Kawasan ini berhampiran pantai dan hutan simpan.”

Teksi berhenti di hadapan sebuah rumah kolonial yang sederhana besarnya.

“Tuan, inilah alamatnya. 77, West Rd, Morningside.” Pemandu teksi berbangsa Vietnam itu tersenyum. Iz, ayahmu telah tiba begitu jauh untuk menemuimu.

Seorang wanita separuh umur membuka pintu apabila loceng dipicit. Wajahnya seolah-olah begitu akrab denganku. Benarkah dia? Oh, tidak mungkin.

“Selamat pagi. Anda mencari siapa?”

“Elyn?”

Wanita itu menanggalkan kacamatanya. Matanya yang tajam merenungku dan kemudian senyuman berkuntum di bibirnya. “Yusouf…”

Elyn, kenapa harus kita bertemu di sini?

“Benarkah Iz dan Daniel tingal di sini?” pertanyaanku membuat Elyn terkapa-kapa.

“Iz anakmu?” aku mengangguk. Pasti.

“Oh Tuhan… Kenapa semua ini berlaku?” Mata Elyn bergenang. “Mereka belum pulang. Masuklah.”

Tanpa kata aku menurutinya dan kemudian duduk di sofa. Di atas pendiangan ada gambar-gambar keluarga ini. Gambar Iz juga ada. Anakku, takdir apakah yang menimpa ayahmu ini?

“Bertahun-tahun aku membesarkan Daniel sendirian. Aku ingin kembali kepadamu tapi kau telah pergi tanpa meninggalkan pesan. Ibubapaku menyalahkan aku kerana berkahwin denganmu. Aku tidak tahu kepada siapa harus mengadu.”

“Maksudmu, Daniel anakku?”

“Benar. Aku berkahwin semula ketika Daniel berusia lima tahun.”

Pandanganku berpinar-pinar. Ya Allah. Iz telah berkahwin dengan darah dagingku. Abang kandungnya sendiri. Dosaku mengabaikan keluargaku beginikah kifaratnya?

“Sekarang bagaimana kita harus menerangkan kepada mereka?” Elyn menarik nafas panjang. Tiga puluh tahun berlalu dan hari ini segala-galanya tersingkap. “Kita bernasib baik sebenarnya.”

“Nasib baik?”

Bibie Elyn menguntum senyum. “Sebenarnya perkahwinan tertangguh. Sesuatu tak dapat dielakkan." Ah, senyuman itu membuatkan aku semakin nanar.

“Mereka telah pulang.” Elyn menepuk bahuku mengejutkanku daripada lamunan yang panjang. “Kita harus tabah menghadapi kenyataan.”

“Ayah!” Iz berlari keriangan mendapatkanku dan memelukku dengan erat. Aku melepaskan pelukannya dan menyambut tangan Daniel.

“Daniel?”

“Ya ayah, Muhamad Daniel.”

Aku terkesima. Bagaimana aku harus menerangkan kepada mereka?

4 ulasan:

zulkifli khair berkata...

Tanggungjawab yang amat berat jika mahu berkahwin 'orang putih'. Dia perlukan kekuatan bukan sekadar daripada kewibawaan dan kebijaksanaan suami bahkan daripada persekitaran. Bukan mudah untuk memesrakan belacan dengan keju, namun hakikat kekuatan itu daripada Allah.

MARSLI N.O berkata...

Dah siar atau belum? Tak khuatir dijiplak?

mohamadkholid berkata...

zul, terima kasih.

marsli, belum siar lagi kena bakul sampah je. siar sini - kalau ok mungkin blh masukkan kumpulan cerpen.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

Tuan Kholid,
Tahniah atas cerpen di BH, hari ini. Apa mimpi menulis cerpen?