Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mei 28, 2009

Jadi Orang Perjuangan

“Tidak ada kerja main-main,” kata bapak satu ketika dahulu ketika kami bekerja menanam anak benih sawit ketika aku baru sahaja bergraduat. Tanah empat ekar lebih itu baru sahaja dibersihkan, pokok kelapa ditebang dan mahu digantikan dengan sawit. Kata-kata bapak itu terpahat di ingatan. Ketika itu aku sedang menulis – novel percubaan suka-suka yang ku tulis dalam sebuah diari tebal. Novel yang sehingga kini masih belum muncul. Kata-kata itu juga diingatkan ketika aku menerima surat tawaran kerja – yang gajinya membuatkan bapak tersenyum senang, meninggalkan angan-angan pasang surut mahu memulakan menternak arnab secara komersial. Anak muda yang mencari-cari arah – aku memilih menerima tawaran kerja itu kerana senyuman bapak.

Sejak dahulu lagi – aku ingin jadi penulis. Ketika mengikuti PPM2009 di Puteri Resort Melaka, seorang teman penulis yang tersohor memperkatakan persoalan – apakah arah perjuangan penulis? Seakan aku tenggelam dalam asyiknya berjurai-jurai arah perjuangan yang belum aku capai – sehingga gagal menyatakan apakah perjuanganku sebenarnya dan kemudian memutuskan idealisme perjuangan yang semakin luntur.

Usia yang semakin menginjak takah kehilangan mudanya – idealisme juga demikian. Sikap terhadap arah perjuangan juga semakin disesuaikan dengan kemampuan menterjemah nilai dan kepentingan. Ketika mula menulis Siri Penyiasat Ekstrovert – aku hanya ingin memupuk semangat membaca pada kanak-kanak yang begitu dahaga dengan karya tempatan. Cukuplah dengan Siri Hardy’s Boy dan Nancy Drew yang bertahun-tahun mengisi kekosongan itu. Kanak-kanak yang kuat membaca akan menjadi besar dan dewasa sebagai pencandu buku.

Kini iklim politik menggugah dan alam semakin sakit dengan tangan-tangan manusia yang rakus. Menulisnya seolah-olah menyatakan pendirian orang perjuangan – penulis kecil yang bermukim di lereng gunung. Kepincangan yang tak mungkin dapat ditegur itu hanya boleh disentuh dengan idea kreatif penulis – selembut mungkin tetapi dengan wacana yang jelas dan tegas. Yang akan ditafsirkan oleh pembaca karya bertahun-tahun kemudian – yang diharapkan akan merubah lanskap negara mendatang. Kata bapak, “kita berkebun bukan sahaja untuk mencari rezeki tetapi buah-buahan yang dimakan burung-burung dan tupai akan menjadi amal jariah kepada alam. Setiap dari mereka mendoakan kesejahteraan hidup pekebun.” Itulah perjuangan bapak, tentu sahaja berkisar dengan kebunnya.

Pantai Cahaya Bulan
27-28 hb Mei 2009

17 ulasan:

Masayu Ahmad berkata...

Teruskan usaha dan perjuangan. Semoga ianya menjadi titik tolak dalam mendidik anak-anak bangsa.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang kholid, barangkali - seringnya - sesebuah karya kelak akan menjadi cerminan dan 'ranum buah-buahan' yang akan dikongsi bersama; moga2.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

bang, lagu blognya sudah tiada?

Mary Kalsom berkata...

Salam Kholid,

Lunak sungguh sususan bahasa saudara, seperti juga angin sepoi bahasa di pesisir Pantai Cinta Berahi - negeri tanah tumpah darah saya.

Seperti saudara, saya juga bermimpi untuk menulis satu novel hebat dalam bahasa ibunda. Setiap kali saya ulang baca novel Salina, Siti Nurbaya dan Seorang Tua di Kaki Gunung, mimpi itu kembali mengejar saya.

Sementelah waktu, saya sudah digigit usia. Bertahun tahun masa yang dihabiskan di universiti luar negara, telah sedikit sebanyak membunuh mimpi itu.

Perkahwinan, kerjaya masa sekarang juga tidak banyak memberi ruang untuk saya berkarya.

Tapi itu semua cuma alasan, bukan?

Seorang penulis, dalam bahasa Inggerisnya, must be born. We cannot learn to write creatively. We must be born as creative writers. And you, Kholid, was born to do just that.

Apa pendapat saudara?

Juga Candu Buku,
Mary Kalsom

SITI NOR SANTI berkata...

Salam..murni sungguh harapan dan niat seorang penulis yang mana mata penanya lebih berbisa daripada belati tajam. Malah kilauan yang tempias lebih telus ke dada anak-anak bangsa. Teruskan usaha murni itu En.Kholid.

ideamenulis berkata...

Menulis bukan untuk dimakan tupai! Selamat menulis dan berkebun supaya penulis lebih sihat wal'afiat.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang kholid,
ren ke mari; membaca dan mendengar muzik ini. dan terus mengulang-dengar. terima kasih, bang.

nooryahaya berkata...

pantai cahaya bulan tu kat mana?
"Kata bapak, “kita berkebun bukan sahaja untuk mencari rezeki tetapi buah-buahan yang dimakan burung-burung dan tupai akan menjadi amal jariah kepada alam. Setiap dari mereka mendoakan kesejahteraan hidup pekebun.”
yep bapak said the same word to me.

Rasha_rz berkata...

hai. macam mana perhimpunan penulis muda hari tu? best tak?

mohamadkholid berkata...

Masayu Ahmad,
saya teringat classmate saya - namanya mcm sdr juga. Masih ingat lirik matanya juga...

Mary Kalsom,
Saya ingat suatu masa dulu - karangan yang saya hantar teruk sekali - sampai cikgu BM tu (sapa nama dia - Cikgu Askiah?) cubit perut. Tetapi yang mendewasakan saya adalah pembacaan - dan sesiapa pernah singgah ke rumah saya akui hal itu. Saya percaya - jika saya tak baca Hikayat Hang Tuah dan Keluarga Gerila pada Darjah 5 - mungkin saya tidak sampai ke takah ini...

Siti Nor Santi,
juga selamat berjuang untuk sdr

ideamenulis,
teringat tentang 'ambil bau' di melaka!

Rendra,
piano by richad clyderman

nooryahaya
PCB di kelantan - dulu pantai cinta berahi

rasha_rz
seronok bila dapat mengutip pengalaman orang lain @ mencari semangat baru..

bayan berkata...

Arghh...nampak sangat saya ni kurang membaca. Encik yang telah menulis beberapa karya juga tidak saya kenali. Sepatutnya kita sama-sama berada dalam gambar, bukan encik yang jadi tukang ambil gambar. Maaf. Salam Kenal.

sf berkata...

Kita hanya mampu menanam benih akal dan zat budi, ia hanya tumbuh di hati yang punya hati pamah yang subur dengan iman dan amal. Itulah tujuan kita menulis. Pada ia menitis di atas daun keladi, ia akan terkesamping.

Rasha_rz berkata...

aduh. tingginya bahasa sf. terkasima akak. itulah bahasa orang hebat.

wardah munirah berkata...

Salam, teruskan niat murni saudara. Insya-Allah mudahlah laluan. Tahniah juga kerana dapat turut serta dalam PPM 09.

Menulis kerana Allah.

wardah munirah berkata...

Salam, teruskan niat murni saudara. Insya-Allah mudahlah laluan. Tahniah juga kerana dapat turut serta dalam PPM 09.

Menulis kerana Allah.

Fizahanid berkata...

Selamat Berjuang!

Kembara-sepi berkata...

Salam. Terima kasih sudi singgah di teratak saya. Anak-anak saya peminat setia Siri Penyiasat Ekstrovert yang saudara tulis. Kagum dengan ilham saudara yang sentiasa segar di minda