Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Mac 30, 2009

Bukan Bukit Bintang


Kilat berdentum, hujan turun dengan lebat. Saya berlari anak menuju ke kaki lima wad kelas tiga wad bersalin. Hajat mahu ke bangunan utama Hospital Ipoh, mahu cari susu kotak kecil dan roti. Air melempahi jalan yang tiada ruang laluan pejalan kaki. Hampir sahaja dengan bangunan wad kelas tiga itu, kaki saya terpelecok. Aduh! Ada lubang yang tersembunyi di sebalik daun-daun kering dan limpahan air hujan yang menyerbu masuk ke dalam longkang.
Saya terhencot-hencot ke kaki lima wad kelas tiga itu. Seorang lelaki yang lebih tua dari saya menggamit, “kena taruh minyak panas. Baiklah nanti.” Saya teringat sewaktu saya kecil, sakit apa pun akan selesai dengan minyak angin cap kapak atau minyak urut panas.
Saya mengeluh. “Selalu hujankah Ipoh ini?” tanya saya. Lelaki itu tersenyum, “hujan itu rahmat Allah dan Ipoh memang terkenal dengan hujan waktu petang.”
Saya mengurut kaki yang terpelecok tadi sambil merenung ke arah bangunan utama. Teringat pesanan isteri saya tadi. Hujan masih mendesah. “Payung tak bawa, ingat hendak pergi ke kantin beli makanan untuk isteri saya,” kata saya resah. Lelaki itu ternyata memahami. “Saya pun tak ada payung juga. Kena bersabarlah tapi kalau lambat masa melawat tamat pula,” katanya.
“Kalaulah ada laluan pejalan kaki berbumbung,” sambung saya. Perkataan ‘kalau’ memang senang diucap, dapat menyembunyikan rasa terkilan dan berbaur harapan pula. Dulu sewaktu kecil, ketika perut lapar dan berbasikal balik dari sekolah, mata liar melihat ke kiri kanan jalan. Dalam hati berbisik, “kalaulah terjumpa duit...”
Lelaki itu tersenyum. “Tak dengar pembentangan mini bajet untuk ransang ekonomi bulan sudah?” tanya lelaki itu dengan sebelah keningnya ternaik sedikit.
“Ada baca di akhbar,” balas saya perlahan.
“Laluan pejalan kaki berbumbung bernilai berjuta ringgit akan di buat di Bukit Bintang, bukan di sini,” katanya membuatkan saya terkulat-kulat. “Mungkin anak-anak mereka atau mereka sendiri kehujanan ketika shopping atau mencari hiburan di Bukit Bintang, sebab itulah laluan pejalan kaki berbumbung dibuat di sana. Mana orang kenamaan politik datang ke hospital ini, tentu mereka ke hospital swasta berbintang-bintang.”
Saya termenung panjang dengan berbagai perkara berbaur di fikiran. Bukan pesakit dan pelawat sahaja yang menghadapi masalah, doktor dan jururawat pun berlari-lari anak sambil menutup kepala dengan beg. Belum dikira kemudahan lain, katil yang sudah berusia puluhan tahun dan bumbung yang sering bocor. “Bagi mereka, tempat ini hanya hospital, tak mendatangkan keuntungan, bukan seperti Bukit Bintang,” lelaki itu menambah sebelum meredah hujan menuju ke wad.

Hospital Besar Ipoh

8 ulasan:

kak ila berkata...

tahniah dik. akak belum sempat berucap tahniah pada kegembiraan awak lagi. muatkan di N3 pun belum. sibuk sangat & komputer di rumah pun sakit tenat. tak blh link internet. sabor je.
apa2 pun tahniah sekali lagi. titipan puteri ke 3.

mohamadkholid berkata...

terima kasih. Syukur semuanya selamat.

nooryahaya berkata...

congrats. apanama? canggih lagi kot?
berbunga juga okid ko ye? karang lepas ni beli lagi byk2 okid kat kedai atas tu. bunga ros yg warna biru tu cantik. belilah satu utk wife.

Najwa Aiman berkata...

Ya tak ya gak! Tahniah bro!

IlhamHamdani berkata...

Salam Tuan MohdKholid yang dihormati,

Akhirnya kita bertemu kembali, meskipun cuma di maya!

Begitulah tuan, adat orang marhaen. Kata orang tua-tua dulu, melukut di tepi gantang. Siapalah ahli politik prihatin yang terfikir nak buatkan bumbung di hospital-hospital kerajaan ini.

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

sf berkata...

Salam,
Saya fikir sejenak - perkara sudah lama berlaku di negara ini. Sudah sampai masanya kita melayang bersama angin perubahan yang berhembus.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang kholid, tahniah ye. syukurlah semuanya lancar. terkesan ren dengan tulisan di atas.

Rasha_rz berkata...

Khal. jom ngobrol2 di booth DBP 17hb ni? jam 3 - 5 petang.