Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, Januari 16, 2009

Proses Kreatif Rahang Maut


Saya menulis Rahang Maut dalam tempoh yang agak singkat – hampir 3 bulan dengan setiap hari menekuni 5 hingga 10 mukasurat. Ketika itu tahun 2006. Saya pulang ke kampung dan sempat mengunjungi kembali satu tempat yang menjadi kegemaran saya untuk bermenung ketika cuti sekolah suatu masa dahulu – Kunci Air Besar di Tanjong Karang, kira-kira sepuluh kilometer dari rumah saya. Pada saya, itulah tempat yang terindah berhampiran kampung. Sawah padi yang saujana mata memandang dan hutan paya yang ketika senja menghampiri, burung-burung kenyalang akan berterbangan secara berpasang-pasangan menuju ke sarang. Burung enggang ini, berpasangan hingga akhir hayat. Antara sawah padi menghijau dan hutan paya yang kelihatan menyeramkan itu sebatang sungai yang lebarnya antara 10 meter hingga di kawasan-kawasan tertentu 100 meter. Airnya hitam dan mengalir tenang. Hitam itu kerana tanah gambut hutan paya. Itulah latar novel Rahang Maut. Kampung saya yang indah.
Dan bagaimana idea Rahang Maut muncul? Tidak lama dahulu saya membaca di akhbar, seekor ikan bermulut buaya ditemui di sawah padi di Kedah. Ikan bermulut buaya itu ganjil, bukan spesis tempatan. Ia datang dari Amerika Selatan. Sebelum itu, saya juga pernah membaca – ikan flower horn ditemui di Sungai Perak. Ikan yang suatu masa menjadi kegilaan kerana benjol di kepalanya, yang si peminat yang gila sanggup membeli hingga beribu-ribu ringgit harganya kerana keunikannya. Dalam pada itu ikan benjol yang degil ini sangat aggresif, menggigit ikan-ikan lain yang menghuni aquarium bersamanya. Bayangkan bagaimana nasib spesis lain jika ikan ini berada di Sungai Perak? Gambar dua orang pegawai alam sekitar di Florida, AS sedang berada di atas perahu dan membawa tangguk untuk menangkap ikan haruan – hanya kerana ikan haruan bukan spesis tempatan di Florida juga memantapkan idea ini. Ikan haruan dibawa masuk dari Vietnam kerana kepercayaan khasiatnya. Tetapi kewujudan ikan haruan di paya-paya Florida mengancam spesis tempatan. Sayangnya kesedaran ini tidak wujud di negara kita. Talapia yang dibawa masuk dari Taiwan kini menguasai hampir semua parit dan sungai serta paya. Ikan asal, puyu, sepat, keli sawah dan haruan semakin menyepi. Apa lagi ikan-ikan yang semakin pupus spesisnya belida, tengas dan baung. Bayangkan suatu masa nanti, kail kita dimakan flower horn, akan ada flower horn masak lemak cili api…
Penjenayah alam sekitar, selalunya melakukan jenayah tanpa sedar. Sebagaimana watak utama novel ini – Wong Chai yang tersepit antara rasa sayang kepada ikan arapaimas dan ketidakmampuan membelanya. Dapatkanlah novel ini, jalinan alam dan cinta selalunya berkaitan.

Brinchang

11 ulasan:

garpu karat / encik jimmy berkata...

wah, penulis buku rupa yer. baguslah. good2

lela berkata...

Novel ni dah ada kat pasaran ke? Macam menarik...keluaran mana ye? Tingin nak beli ni...

mohamadkholid berkata...

sdr garpu...
penulis cilik sahaja.

sdr lela...
keluaran PTS, ada di MPH dan Popular juga.

Rasha_rz berkata...

wei, setia benar burung enggang tu ya?sampai mati berpasangan? betul ke? itu satu tips baru.

lela berkata...

Keluaran PTS ye...hmmmm...kat sini susah sikit nak carik novel2 keluaran PTS. Kene carik serata Seri Manjung dan Sitiawan la jawabnya...

p/s: kalau beli by post dari penulis siap ada signature, takleh ye...hehehehe

mohamadkholid berkata...

burung enggang kalau bertelur, betina mengeram dalam lubang - jantan carikan makan...

jika mahu beli - boleh sms saya - 012-2712906, nyatakan alamat dan saya akan kirim.

wahyu budiwa rendra berkata...

salam abg kholid yang dikagumi.

patutlah diam sejuta masa. ren tumpang gembira, Rahang Maut yang pernah abg cerita pada ren usai diterbitkan PTS. bangga dengan abg kholid. cantik kulitnya. menarik nafsu pembaca nak beli. jangan lupa ye bawa masa bengkel di Melaka untuk ren. ren bawa Mazhab Cinta ren; memuatkan 24 buah cerpen ren 2002-2008.

salam penuh hormat,
ren.

Najwa Aiman berkata...

Aku dah jumpa! Ekekekeke.. tapi belum sempat beli sebab masa tu dompet tinggal lima hengget je. Weekend ni aku beli, insya-Allaah.

p/s: Salam takziah atas kepulangan ayahanda.

najibah berkata...

Buku yang menarik, akan masuk ke wishlist saya.

hanisah othman berkata...

aku dah baca. sayu masa ikan tu dibunuh oleh watak utama. simbiosis manusia haiwan ganas ini terfikir olehku aneh sekali. binatang juga ada rasa setia. huhuhuhu

zulkhair berkata...

Tahniah Kholid! Lepas wujudkan watak ikan yang boleh bawa maut, wujudkan pula watak ikan yang menyimpan batu permata dalam rahangnya. Puluhan manusia menemui maut akibat berebutkan batu permata di rahang ikan tersebut.