Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, Januari 20, 2009

Mengenang Tanjong Karang 2




Bila sekolah dibuka, bangun pukul enam pagi – kejut anak dan jika isteriku tidak sihat, aku akan menyediakan sarapan seadanya. Telur scramble atau hotdog atau banjo. Jika isteriku pasti nasi goreng atau mee atau pun roti kaya. Susu atau horlick atau pun milo. Kemudian bergegas menghantar ke sekolah dengan kereta dalam kabus pagi.
Mengenang usia kecilku, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Dato Manan, Tanjong Karang – bapak akan mengejutkanku sekitar pukul enam. Cuaca yang gelap dan tandas kampung, air kolam yang sejuk menggeletar dan nyamuk yang mengamuk. Bapak setia menemai, kadang-kadang memasang diang sabut kelapa. Ubat nyamuk belum wujud lagi ketika itu. Sarapan pagi, air suam dengan lempeng atau pulut ikan masin atau nasi putih dengan ikan kering dan sambal tumis. Kadang-kadang pisang rebus atau ubi ketuk. Menjelang pukul tujuh, membonceng basikal bapak ke sekolah. Hanya pada Darjah 4 berbasikal sendiri, itu pun basikal tua. Kalau anak-anak yang agak senang, gunakan basikal chopper atau membonceng motor.
Aku pun tak pasti kenapa mesti ke sekolah. Dunia kampung, anak-anak yang memanjat dewasa akan dilatih ke kebun – menebas atau mengumpul buah kelapa yang telah dikait. Hanya itu yang bapak tidak ajar, barangkali rimas jika anak mengikut ke kebun. Pada bapak, baca buku dan buat kerja rumah. Walau pun buku yang aku baca bukan buku pelajaran pun – selalunya buku cerita yang ku pinjam dari khutub khanah (kini-perpustakaan @ pusat sumber). Pada bapak pelajaran sangat penting tapi padaku ketika itu, bertemu dan bermain dengan kawan-kawan juga penting. Bukankah dunia kanak-kanak berkembang dari permainan?
Kata bapak, ikut langkah abang-abang mu, belajar, masuk asrama dan kemudian ke universiti. Mujur, keputusan peperiksaan tidak pernah mengecewakan. Dan aku masih ingat senyum bapak bila mengetahuinya. Masih juga ingat tandatangannya yang biasanya dibuat beberapa minit dengan tangan terketar. Ah, mengenang itu – air mataku pasti mengalir…

Al-fatihah untuk bapak
Yang telah berangkat ke negeri abadi
Pada 22 hb Disember 2008

11 ulasan:

wahyu budiwa rendra berkata...

takziah, abg kholid.
doa ren moga allahyarham dicucuri rahmat.

kenangan, memori seringkala mengusik-sebak perasaan.

ren.

Najwa Aiman berkata...

Ubat nyamuk belum wujud masa tu? U sure or not...?

mohamadkholid berkata...

Ren...
hidup seperti sesuatu yang hilang...

Adzam...
maksud aku belum wujud kat kg aku... he..he..he..

pye:rudz berkata...

jangan sesekali dibuang kenangan. kita perlukan kenangan kerana kenanganlah yang menghidupkan kita.

p/s: terkenang tempat kunang2 yang belum sempat berkunjung tandang.

Rasha_rz berkata...

Zaman adik tidaklah semundur zaman akak...
Nak tau, kegiatan akak masa zaman kanak2? terjun ke sungai, berendam sepanjang hari dan memanjat pokok. Tak ada buah tak apa, saja melihat bumi dari atas pokok. Zaman sebelum pandai berkawan (bawah 6 thn), akak mengarang cerita seniri. bercakap sorang2, mak kata bercakap dgn bunian. hehe.itulah memori silam. Sungguh indah, dlm kepayahan. Jauh dari kemewahan tp tidak miskin dgn kasih sayang......

Zamer Rizal Osman @ ZoRrO berkata...

Takziah bro! Teringat aku masa berkampung kat rumah kau bersama Dollah dan Yahya. Aku dibesarkan dikawasan setinggan...dua suasana yang berbeza.

Rahimidin Z berkata...

Sdr. Kholid,
takziah. Daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya kita kembali.

Ainin Naufal berkata...

Takziah.

Hiduplah dengan kenangan. Dengan kenangan kita tau siapa kita.

Puteri Daluwarsa berkata...

Takziah juga buat sdr kholid.

Kenangan itu akan selalu mengusik perasaan kerana kehilangannya. Namun belajarlah mengingati kenangan yang membuat kita tersenyum walaupun dalam tangis.

Ariyatna

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

KhoLid,
Jangan tinggalkan ayah dengan kenangan, tetapi tinggalkan ayah dengan doa dan keampunan. Bukankah doa anak itu, tidak terhijab di langit

zulkhair berkata...

Takziah Kholid. Dah masuk Feb 2009 baru saya tahu. Moga ruhnya dalam keampunan dan kerahmatan Allah.