Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Oktober 23, 2008

Sumpah Ini Kisah Yang Kadangkala Benar (Mengikut Masa dan Tempat)



Encik A datang kepada kami suatu petang dengan sebeban kertas kerja dan senyumnya yang dibuat-buat.
“Kau mesti suka apa program yang aku hendak buat ini. Kerja amal, berkonvoi sambil berbakti kepada OKU,” katanya dengan penuh yakin.
“Konvoi? Banyak belanja tu.”
“Tak banyak, malah semuanya akan disponsor kalau kena pada caranya,” balas Encik A dengan penuh yakin. “Kau boleh anak isteri kau berkonvoi sambil berehat di hotel berbintang. Lawat zoo dan taman air. Tapi kenalah beramal sedikit.” Encik A semakin kuat bercakap, cuba meyakinkan aku yang sudah naik tiga kerut di dahi.
“Yang mana sebenarnya nawaitu program kau ni, beramal kepada OKU atau berehat?”
“Berehatlah tapi percuma…”
Aku tepuk dahi. Ramai rupanya orang seperti Encik A ini. Buat program, jemput OKU sertai hanya sebagai ‘lesen’ sahaja. Boleh dapat banyak kemudahan – menumpang dengan kemudahan yang sepatutnya OKU dapat. Syarikat-syarikat yang hendak sponsor, mesti mudah menderma bila dengar OKU dilibatkan. Itu belum jabatan kerajaan yang sedia mengorbankan tenaga kerjanya untuk menjayakan program seperti motorsikal peronda polis yang akan mengiringi konvoi tu.
Itu satu kisah, ada kisah yang lain. Satu jawatankuasa mahu melawat ke tanah tinggi – lawatan sambil belajar bersama OKU.
“Kita bawa OKU yang kecacatan ringan sahaja, mudah hendak jaga. Kalau yang terpaksa berkerusi roda tu tak sesuailah,” kata Encik B.
“OKU yang susah keluar dengan ibubapa itulah yang sepatutnya kita bawa, bukankah ramai sukarelawan dalam rombongan tu,” tingkahku.
“Banyak risikonya,” jelas Encik B membantah. “Nanti kalau jadi apa-apa – susah. Kita ambil OKU yang mudah dijaga. Itu pun tak ramai, 10 orang je.”
Hai, bas muat 40 orang – OKU yang turut serta cuma 10 orang saja. Program ini untuk OKU atau untuk orang lain?
Ada lagi kisahnya.
“Syarikat kami hendak melancarkan produk baru, kami minta supaya kumpulan OKU dapat hadir untuk turut serta,” pinta Cik C, wakil sebuah syarikat multi nasional.
“Takkan datang saja, takkan tak ada sumbangan untuk sekolah OKU ini?”
“Sumbangan tak ada tetapi setakat jamuan ringan disediakan.”
Alahai, jamuan ringan saja… Ada sesiapa hendak sambung kisah-kisah ini?

7 ulasan:

NorziatiMR berkata...

Haha..ini biasalah berlaku. Contoh lain, majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Anak yatim dapat duit raya, di beri makan, dapat baju raya, tapi pada masa yang sama artis promosikan lagu, promosikan diri, restoran promosikan juadah buffet, hotel promosikan kemudahan.

Udang sentiasa cuba berselindung di sebalik mee supaya tidak mudah kena ngappp...

zulkhair berkata...

Hang memang paling tepat untuk tulis entri begini. Memang kita amat kurang mesra OKU (termasuk warga lansia). Hendak bersiar2 payah. Apa tidaknya, laluan pejalan kaki yang tidak turun melandai untuk mudah naik turun. Naik bas payah. Naik lif payah. Buang air payah dan banyak lagi.

Di Barat, bila letak kereta di petak OKU, pemandu (bukan OKU) bila keluar pun buat2 tempang supaya nampak OKU - kecut perut.

Di tempat kita, pemandu (bukan OKU) berjalan dengan selamba sambil seolah2 mahu menjerit: "Hoi, apa tengok2, lantak pilah OKU, nak saman2 lah, tak makan saman punya!"

kak ila berkata...

OKU - mungkin ORANG KURANG UPAYA? Tapi cerita Kholid ni kisah OKU - ORANG KIRA UNTUNG. hehehe.. sempat lagi utk ucap selamat aidilfitri kut? salam karya dik.

p/s dah siap novel DBP? Tolong!!! kak ila tak siap lagi.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi berkata...

Kholid,
Dunia akan kiamat sebab 'banyak' sangat manusia yang oportunistik berbanding altruistik...betull!


al-Kurauwi

MYA MARJA berkata...

Assalamualaikum,
Mungkin ini yang dinamakan rantaian. Hidup yang saling memerlukan, dan adakala saling mempergunakan. Agar kita sentiasa beringat, jangan sesekali dipergunakan.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Mohd Kholid: Saya dengan sengaja datang melawat sahabat yang baik.

Marsli N.O

mujahidahkhadeeja berkata...

salam. alangkah bagusnya jika semua kerja dilakukan kerana allah ,aman dunia. namun manusia ada musuh yang tersembunyi yang menghasut dan menerkam bila2 masa sahaja. persoalannya bagaimanakah cara bagi mengatasi masalah ini di kalangan masyarakat kita sendiri terutamanya. ah usah diperkatakan lagi yang penting ketaqwaan yang ada dalam diri boleh mengatasi semua ini. percayalah....