Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Sabtu, Ogos 30, 2008

Mengenang Tanjong Karang (i)

Melihat anakku yang istimewa tidur yang sesekali terganggu kerana selsema dan batuknya, pantas tangan menjamah dahi. Masih panas. Anakku yang istimewa ini bukan senang mahu menelan ubat. Seringkali kami ‘menipu’ dengan meletakkan ubat demam yang berwarna merah terang dalam kurma dan ubat selsema yang kuning terang dalam pisang emas. Seringkali ketika dia merasa pahitnya ubat, pantas diluahkan. Dan kami akan mencuba lagi dengan cara lain.
Dan ketika menunggu demamnya kebah, ingatanku pantas mengerawang ke zaman kecilku di Tanjong Karang.
Aku dahulu sering sakit. Demam dan sakit perut. Juga pernah luka dikaki akibat terpijak kaca. Paling akrab sekali – penyakit zaman tujuh puluhan adalah kudis. Tabahnya bapa dan emak, hanya Allah yang dapat membalas budi mereka. Terlalu kerdil dengan keadaanku sekarang, menjaga seorang anak istimewa. Tahun-tahun tujuh puluhan, kemiskinan warna-warna kampung-kampung tradisional. Anak-anak hanya berkaki ayam, tidak berbaju. Kadang-kadang tidak berseluar juga. Bulin, kata orang. Macam watak Epit dalam Kampung Boy.
Ketika itu anak-anak jika demam, ke hospital seperti jalan terakhir. Demah dulu dengan tuala basah. Letak asam jawa di umbun-umbun. Jika tidak juga kebah, barulah dibawa ke hospital. Maklumlah, jarak hospital dan rumah jika zaman sekarang hanya lima belas minit berkereta – ketika itu berbasikal mungkin sejam juga. Tambahan pula membawa orang sakit. Klinik swasta – itu akan juga dilawati jika ada khabar-khabar yang ubat diklinik itu mujarab atau cepat baik.
Seingatku, bapa pernah membawa ku ke klinik estet di Jalan Raja Musa. 15 kilometer dari rumah. Klinik estet, milik estet tetapi jika orang kampung datang mendapatkan rawatan – tetap percuma. Ubatnya memang kuat sedikit. Cepat baik. Kata bapa, estet akan rugi jika gunakan ubat yang kurang mujarab. Orang tidak boleh bekerja kerana lambat baik.
Sesekali pernah terlintas di fikiranku. Jika pada zaman tujuh puluhan ada anak istimewa seperti anakku, bagaimana agaknya si ibubapa akan menangani? Bagaimana mahu mebawanya naik basikal? Pasti meronta-ronta mahu jatuh. Syukur. Mengenang Tanjong Karang, membuatkan aku insaf. Ya Allah, sembuhkan demam anakku ini. Amin.

5 ulasan:

ainon mohd berkata...

Amin! Amin! Semoga sudah sembuh.

Serunai Faqir aka SF berkata...

Selamat menjalani ibadah puasa, moga mabrur, aminnn ...

Poliklinik Salehudin berkata...

assalamualaikum.
saya terpanggil untuk komen tentang ubat klinik estet yang mungkin lebih baik keberkesanannya. memang ada kebenarannya kalau pekerja estet lambat sembuh, majikan kerugian man power.begitu juga dengan quality ubat, tentunya ubat gomen 2nd class kerana harga yang lebih murah. dalam situasi sekarang, ubat generic yang kurang baik kualitinya.

bagaimana pun, pekerja estet dan orang kampong berkenaan kerugian kerana lumrahnya yang bertugas diestate adalah pembantu hospital yang mencuba kecekapan masing2.senang cerita, mereka akan menyuntik 90% dari pesakit yang datang.walhal, pada masa tersebut, ubat suntikan yang ada hanya penicillin,dengan kadar reaksi alahan yang tertinggi.untung benar pembantu hospital itu, sangat dihormati, dipanggil doktor,dan ditakuti budak2.mungkin kah saudara juga disuntik penicillin [ponggong bengkak seminggu selepas disuntik.]

zulkhair berkata...

Kholid, memang tuan layak tulis tentang kanak2 untuk kanak2!

ardisia berkata...

Salam,
En Lid, teringat pula kpd seorang kawan yang saya panggil Epit, di Rengit.