Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, Mei 06, 2008

Berita Harian 6 hb Mei 2008


Ilmu diterap dalam karya sastera
Oleh Nazmi Yaakub


Kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152, Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1997 dikesan dalam teksBICARA Karya Sastera Zon Tengah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, menilai sastera sebagai karya yang tidak terpisah daripada unsur keilmuan dan penyelidikan. Aspek psikologi dan perbezaan pandangan Barat dengan kaca mata Timur terhadap unsur eksotik Asia dalam tiga naskhah daripada genre berbeza, Naskhah Kabus di Perbukitan, Kumpulan Cerpen Masitah dan Kumpulan Puisi Permata Budi, turut ditinjau.
Pensyarah PPBKKM, Che Abdullah Che Ya, melihat Kabus di Perbukitan memperlihatkan hubungan akrab novel dengan pengarangnya, Mohamad Kholid Hamzah berdasarkan pemilihan latar dan pengaruh daripada pengetahuannya dalam bidang Psikologi. “Pengalaman berkhidmat di kawasan tanah tinggi dengan persekitaran indah, mempengaruhi Mohamad Kholid untuk mengambil latar itu sehingga beliau melukiskan persekitaran Cameron Highlands tanpa sedar walaupun turut menggunakan Bukit Fraser sebagai latar penceritaan. “Hal ini selari dengan konsep dan pendekatan psikologi yang menggariskan pandangan bahawa hasil kesusasteraan lahir daripada keadaan manusia yang berada dalam situasi bawah sedar,” katanya ketika membincangkan Kabus di Perbukitan: Lara Insan yang Kehilangan.
Bicara anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penulis Selangor (PPS), PPBKKM dan Kelab Persuratan Melayu UKM itu turut dihadiri Pengerusi PPBKKM, Prof Dr Zulkifley Hamid dan Ketua 1 PPS, Datuk Dr Anwar Ridhwan. Selepas mendapat lakarannya, bahan karya itu disusun secara sedar, selain pengarang turut memperlihatkan pengetahuan sebagai lulusan diploma psikologi dalam bidang kaunseling apabila mengemukakan konflik emosi dalam diri watak. “Pengarang berjaya mengolah psikologi watak dengan berkesan kerana kelebihan menguasai bidang terbabit yang banyak membantu beliau mengawal watak, sekali gus menunjukkan wataknya hidup dan terkawal. Hubungan roh antara watak Faridah dan Rohayu walaupun bersifat mistik boleh diterima akal kerana banyak misteri dalam sains yang belum terungkai di sebalik hubungan pasangan kembar,” katanya. Bagaimanapun, Che Abdullah menegur kelemahan ketara yang membabitkan watak Rohayu yang tidak mengetahui kewujudan Faridah walaupun berpisah pada usia 7 tahun, sedangkan secara logiknya minda watak sudah cukup kuat untuk mengingati tempat tinggal kembar dan ibunya.
“Meskipun bahagian pertama novel menunjukkan kejayaan pengarang menjadikan penceritaannya kemas dan menarik, bahagian kedua pula memperlihatkan penumpuan pengarang kepada watak sampingan secara berlebihan sehingga hubungan pembaca dengan watak utama terputus,” katanya pada bicara yang dipengerusikan Pegawai Perancang Bahasa DBP, Saifullizan Yahaya. Hakikat itu dapat dilihat terlalu banyak penumpuan kepada watak sampingan seperti Malina, Benny dan kenalannya dalam gerakan Islam, selain sorotan terhadap kehidupan Zain, sekali gus menyebabkan watak utama, Faridah tenggelam. Pensyarah Universiti Hitosubashi di Jepun, Togari Yasuka, melihat watak berbangsa Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah karya Dr Mawar Shafie, tidak berbeza daripada gambaran stereotaip dalam novel dan filem Barat seperti The Bridge on the River Kwai, Shogun, Black Rain, Rising Sun serta Last Samurai. “Dalam filem yang mengambil fokus Jepun termasuk siri James Bond, ada kecenderungan berfokus kepada kebudayaan Jepun yang dianggap eksotik pada pandangan orang luar. Begitu juga filem yang menggambarkan imej Jepun masa kini seperti joshikosei,” katanya ketika meninjau Jepun dan Watak Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah. Joshikosei bermaksud pelajar sekolah menengah tinggi berpakaian seragam berkeliaran di kawasan hiburan dan yakuza, iaitu kumpulan penjenayah terancang, selain ahli perniagaan yang memakai kot serta jarang tersenyum. Togari mengakui kekagumannya terhadap watak Jepun dalam Kumpulan Cerpen Masitah yang diberikan gambaran sejagat sehingga jika watak Jepun dimainkan oleh watak bukan Jepun, cerita itu dapat dijalankan juga. “Kumpulan cerpen ini membayangkan watak yang merindukan ibu atau isteri sudah pergi atau seseorang yang menyayangi anaknya. Hal ini disebabkan watak orang Jepun berkahwin dengan warga asing dan menetap di luar negara sehingga sukar dikatakan sebagai orang Jepun tipikal,” katanya. Pegawai Perancang Bahasa DBP, Shahrun Nizal Mohd Nor, pula mengangkat Kumpulan Puisi Permata Budi karya Ahmad Sarju sebagai mencerna pemikiran semangat patriotik, mengangkat isu bahasa dan alam sekitar serta melakukan introspeksi diri. “Semangat patriotik mendominasi sajak yang terhimpun dalam buku ini, seolah-olah Ahmad menyeru pembaca untuk menyemai semangat itu, sekali gus menunjukkan penyair mempunyai suara dan harapan untuk dikongsi bersama,” katanya ketika membentangkan Antara Pemikiran dengan Estetika dalam Permata Budi. Puisi bertema perjuangan memartabatkan bahasa turut mendominasi kumpulan puisi itu kerana pengarang melihat bahasa Melayu diperlekeh dan dipinggirkan di tanah air sendiri meskipun kedudukannya sudah dijamin dalam Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

6 ulasan:

Nenos berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
kak ila berkata...

Itu komen mereka, komen kholid pula?

mohamadkholid berkata...

saya sentiasa menerima kritikan dengan dada terbuka. Seperti kata seorag penulis terkenal - tugasnya menulis seudah selesai, menjadi tugas pengkritik pula mengkritik apa-apa kekurangan atau yang tidak bersesuaian dengan pemikiran. Setiap orang ada pandangan sendiri dan kita mesti hormati.

kak ila berkata...

ya. kak ila setuju. sebagai penulis, kita tak boleh melenting atau marah2 bila karya kita dikritik. menulis ikut kacamata penulis, pengkritik dari kacamata mereka. hormati buah fikiran pengkritik, kalau nak berjaya

Najwa Aiman berkata...

Yang duduk depan nombor satu dari kanan tu siapa ya? Ada emel ia? Hehehehe...

mohamadkholid berkata...

Oii.. Najwa Aiman... Tu bini orang tu!