Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Mac 20, 2008

Teman Yang Akrab Ketika Menunggu


Hampir seminggu, aku menunggu dari hospital ke hospital. Hospital UKM Cheras, ketika menunggu rawatan pakar untuk anak dan Hospital Tanjong Karang, menunggu bapa yang dimasukkan ke wad kerana lalai memakan ubat. Sememangnya ketika menunggu, bukulah teman paling akrab dan aku berjaya khatam tiga buah buku. Pertama, Kuras-kuras Kreatif oleh Azizi Hj Abdullah. Kedua, Dua Dunia oleh Anis Sabirin dan ketiga, Tirani sebuah novel oleh Beb Sabariah. Kuras-kuras Kreatif merupakan sebuah autobiografi penulis yang begitu akrab dengan bapanya. Sekilas, aku juga mengenang hubunganku dengan bapa – yang aneh mungkin sebagaimana anehnya hubungan Azizi dengan bapanya. Menulis surat kepada si anak, Azizi hanya dengan sebaris ayat. Hubungan ku dengan bapa pun begitu, kami jarang bercakap. Tidak pernah berbual santai-santai. Duduk pun jauh-jauh. Jika aku di tengah rumah, bapa di bendul pintu. Sewaktu kecil, aku tidak pernah mengikut dia bekerja. Jika bapa mahir mengait dan mengopek kelapa, aku lansung tak tahu. Pantang bapa, jika anaknya bekerja sekali. Buat dia jadi rusuh barang kali. Kuras-kuras kreatif amat sesuai sekali dibaca oleh penulis, akan dapat dilihat bagaimana aliran pemikiran Azizi dan bagaimana keadaan sekeliling mempengaruhi karyanya.
Buku kedua, Dua Dunia sebuah memoir oleh penulis wanita yang terkenal dengan puisi-puisinya yang berirama indah dan mesra pembaca (komunikatif). Media selalu mendedahkan kepincangan Amerika dari sudut polisi luar negara. Kepada sesiapa yang masih memandang Amerika dengan satu sudut pandangan sahaja – sila baca buku ini. Amerika pada kacamataku sebuah negara kebajikan yang boleh dihormati, bagaimana negara itu melayan warganya terutama yang miskin dan kurang upaya – bagai matahari dan bulan jika dibandingkan dengan tanah tumpah air mata ini. Pun begitu pandangan Anis Sabirin lebih tertumpu kepada cara hidup dan kehidupan penulis di Amerika. Bukan proses kreatifnya di sana. Aku sejujurnya mahu melihat bagaimana aliran pemikiran penulis dalam karyanya.
Buku ketiga, Tirani oleh Beb Sabariah – sebuah novel yang wajar dibaca oleh semua. Buah tangan pertama penulis kelahiran Sarawak itu amat indah dan hidup – mendedahkan kita kepada budaya masyarakat Melayu sana. Ia kisah tentang kecantikan, konflik dan kelebihannya yang diceritakan dalam latar industri pelancongan tanahair. Latar yang mewah itu sebagaimana jauhnya perjalanan penulis dari Sarawak – Semenanjung – Singapura. Begitu mengesankan dengan gaya bersahaja yang memikat.
Saya mengirim SMS lewat bacaan saya kepada penulisnya dan Beb Sabariah meminta saya memberikan komen. Saya percaya Beb Sabariah akan terus maju dalam bidang penulisan. Halangan bukanlah perkara besar buat penulis berjiwa besar seperti Beb Sabariah.

HUKM Cheras – Tanjong Karang – Kuala Kubu Bharu

6 ulasan:

Gardagami berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Nazmi Yaakub berkata...

oh, simpati aku. allahu yashfihu

zulkhair berkata...

Moga Allah mudahkan urusan Sdra dan keluarga.

Seronok nak kongsi. Malam tadi baru habiskan buku tentang 50 tahun politik orang Melayu oleh Hj Razali Endun. Sebelum itu, baru separuh novel Bulan dan Mentari oleh Bonda Zaharah Nawawi. Kini, membaca untuk menulis akan buku2 Pengantar Sains Pengurusan Masjid dan Tazauf Moden oleh Pak Hamka.

Wan Nor Azriq berkata...

Baru jumpa novel ini di dbp petang tadi. Selepas dengar komen abang kholid, mungkin beli nanti.

fadz berkata...

mana fotonya weh!

Rasha_rz berkata...

waduh waduh... banyaknya buku yang di baca dalam masa menunggu. hebat. mesti berjaya menggarap manuskrip cerlang untuk DBP nanti. tak sabar nak tunggu hujung tahun w/pun kak ila berdebar sebenarnya nak menyiapkan novel sendiri untuk DBP tu. ha... bolehkah ha? (kening berkerut teruk)