Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Mac 31, 2008

Menggarap Idea di Tanjung Tuan

Usai sahaja Bengkel Perolehan Manuskrip Novel DBP di Selesa Resort, Port Dickson pada 26 hb Mac yang lalu, saya dan Rendra menuju ke Tanjung Tuan. Bengkel tiga hari memberi kenangan yang sangat indah bagi kami, penulis muda yang menjadi pesertanya. Rasa terlalu muda apabila berbengkel dengan orang-orang yang sudah dikenali dalam dunia penulisan seperti Saleha Hussin, Ramlah Rashid, Razali Endun dan Tiras R. Juga seronok berbual dengan penulis sci-fi yang berbakat Fadzli Akiti. Teman-teman Kepezi yang baru mengukir nama seperti Soo Cham (saya baru habis baca Air Mata Ibu – mengujakan!), Nafisah, Al Kurauwi (yang bakal mengejutkan dunia sastera tanahair dengan novel pelayarannya) dan Rendra (yang sentiasa mengukir puisi hatta ketika di atas katil). Juga Rozais dan Zanazaly dengan sinopsis yang berlainan sekali.

Ke Tanjung Tuan merupakan rancangan awal saya dan Rendra. Hasrat kami mahu menulis sekurang-kurangnya sebahagian besar draf novel atau beberapa helai mukasurat bab yang sepatutnya. Rumah Persekutuan, yang agam di atas bukit dengan pemandangan terus mengadap laut menjadi tempat persinggahan kami. Dengan RM40 semalaman, apartment dua bilik itu amat selesa. Apatah lagi lengkap dengan pinggan mangkuk dan dapur gas. Beras sahaja tiada.

Kami menjejak pasir, mengintai ketam di balik akar-akar angin bakau minyak dan merenung laut sepuas-puasnya. Teruja sekali melihat helang-helang migrasi membuat pusingan berkelompok bagai sedang tawaf untuk mendapatkan udara termal sebelum memulakan migrasi kembali ke Siberia. Juga pada hari esoknya, bermain dengan ikan karang di Pantai Laguna Biru (Blue Lagoon) dan sebelah petang merentas hutan simpan, mendaki ke puncak bukit yang menempatkan rumah api Cape Richardo, Melaka. Masya-Allah, pemandangan yang sangat indah bila melihat laut dan langit tiada titik pertemuannya. Juga kami jugle-tracking hingga ke pantai tersembunyi Pulau Intan walaupun tanpa bekalan setitik air pun. Rasa hendak tercabut kepala lutut, botol air mineral yang berisi separuh kosong ditinggalkan pengunjung kelihatan ‘amat menarik sekali’.

Libur ini cukup indah, keletihan tidak terasa kerana hati diamuk rasa – mahu menyiapkan novel yang dijanjikan segera. Berat hati mahu memandu pulang…

Tanjung Tuan
27/3/2008

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

amboi-amboi... bukan main libur lagi ya? ha, novel dah siap? sekurang2nya kerangka dan sinopsis. bulan depan dah kena hantar 1 bab.

kak ila
p/s, kak ila belum dimulakan lagi... kak ila ni lembab sikit bab2 kelainan ni. shyy... jangan bagitahu orang lain.

zulkhair berkata...

Tg Tuan memang menarik. Cuti panjang lepas, kami sempat daki puncaknya - rumah api. Selamat siapkan manuskrip. Manuskrip yang tak siap makna, manuskrip menjadi tuan kepada penulis. Manuskrip itu boleh siap apabila penulis menjadi tuan kepada manuskrip. Jumpa lagi tuan!

fadz berkata...

amboi, bukan main seronoknya!! ni yang seronok jadi penulis 'terkenal' ni, hehehe.. selalu orang ajak berbengkel kan?

S. Rafidah H. Basri berkata...

Semoga saya juga akan menjadi penulis terkenal dan berbakat seperti tuan!

Selamat berkarya Tn. Kholid!