Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Selasa, Januari 15, 2008

Surat Terbuka Anwar Ridhwan

Karya Bermutu Wajar Jadi Teks Sastera
dalam Berita Harian 15 hb Januari 2008

SAYA merujuk 'Teks sekolah tak senarai karya SN" (Berita Harian, 12 Januari 2008). Berita itu antara lain menyebut bahawa karya Sasterawan Negara tidak disenaraikan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010. Sebaliknya, karya penulis popular dan remaja mungkin dipilih, untuk 'menarik minat mereka (pelajar) dalam Komsas.' Jika berita itu benar, ternyata wujud kesilapan yang paling besar dan asas terhadap konsep pemilihan teks sastera khususnya bagi Komsas. Teks yang dipilih bukanlah sekadar untuk 'menarik minat (pelajar) dalam Komsas', kerana sesebuah teks sepatutnya mengandungi beberapa elemen yang boleh memperkayakan pengalaman estetik, pengalaman intelektual dan mematangkan pelajar untuk mengenal mana yang benar dan mana yang salah.
Teks bukanlah suatu 'escapism', yang direndahkan mutu dan martabatnya semata-mata untuk menarik minat pelajar. Pemikiran sedemikian akan menyebabkan teks dipilih berdasarkan 'selera' pelajar semasa, dengan memilih sastera bermutu rendah atau disebut sebagai 'kitch'. Mereka (pelajar) akhirnya menganggap bahawa sastera bermutu rendah itulah sastera yang sebenarnya. Dalam jangka panjang, konsepsi sastera mereka akan ketinggalan jauh ke belakang rakan mereka di luar negara yang menggunakan teks sastera bermutu tinggi. Sehubungan ini wajarlah jawatankuasa pemilih teks Komsas meninjau kaedah digunakan bagi pengajian sastera di Barat, di Amerika Latin, Jepun, atau China. Di sana, hanya teks sastera yang bermutu, dan yang sudah diuji zaman, dipilih untuk dikaji dan dipelajari.

Karya yang sudah diuji zaman, biasanya mencapai tahap 'genius' atau menghampiri tahap 'genius'. Karya itu memiliki 'semangat zaman'nya, contoh teladan kehidupan dan bahasanya adalah wacana kreatif yang dapat dipelajari dari pelbagai sudut linguistik dan sosiobudayanya. Lebih baik karya sastera Melayu yang bermutu, yang sudah diuji zaman ini dijadikan teks Komsas. Karya boleh dipilih daripada tulisan sembilan Sasterawan Negara yang ada iaitu Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Salleh, Abdullah Hussein dan S Othman Kelantan atau puluhan penerima South East Asia Write Award. Korpus karya sastera kita juga menawarkan tulisan yang menarik daripada Munsyi Abdullah, Ahmad Murad Nasaruddin, A Samad Ismail, Ishak Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Hasan Ali, Abdul Rashid Ngah dan sebagainya. Sastera tradisional pula pastilah tidak mungkin mengabaikan genius pantun Melayu, petikan daripada Hikayat Hang Tuah, petikan daripada Sulalat al-Salatin, beberapa petikan karya Raja Ali Haji dan sebagainya.
Pemilihan teks sastera yang baik dan yang sudah diuji zaman, adalah tradisi pengajaran dan pembelajaran sastera di negara maju atau negara yang sedar akan konsep dan martabat sastera. Janganlah 'merendahkan' teks sastera Komsas berikutan masalah pelajar, kerana kedua-duanya isu berlainan. Pemilihan teks sastera yang baik dan yang sudah diuji zaman, akan lebih membuka minda pelajar terhadap konsep sastera yang sebenar iaitu karya yang dapat memperkayakan pengalaman seni, pengalaman intelektual serta keupayaan mereka untuk menimbang dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini. Itulah antara tujuan utama pengajaran dan pembelajaran sastera dan tujuan itu sepatutnya dicambahkan dan dipupuk sejak peringkat Komsas lagi.


DATUK DR ANWAR RIDHWAN,
Ketua Satu Persatuan Penulis Selangor.

7 ulasan:

Zamer Rizal Osman @ ZoRrO berkata...

Assalamualaikum wbt.

Bro, TAHNIAH!...karya kreatif hang semakin berkembang. Aku taklah sehebat hang. Habis hebatpun menyindir dalam komentar Forum Utusan Malaysia. Terbaru cerita pasal kesesakan jalanraya di KL dalam ruangan forum Utusan Malaysia bertarikh 11 Jan 2008. Dulu, pada 11 Jun 2007, "smash" pasal SMART Tunnel.

Semoga bersua kembali...

Zamer@ZoRrO

Rasha_rz berkata...

Entahlah Kholid. macam2 yang terjadi dalam dunia sastera dan pendidikan sekarang. Masih ingat pepatah ini? Tak disangka2, cempedak menjadi nangka. Pelik dan aneh, kan? Tapi apa2 pun, diharapkan desas desus itu tidak akan menjadi, Amin...
Eh, semalam tak nampak awak kat DBP? Tak dijemput secara rasmi juga ke? seperti ramai penulis lain yang hanya dihubungi melalui telefon.

mohamadkholid berkata...

Zamer - aku baca seligi kau tu... Mungkin agak keras tetapi aku fikir jika dijadikan rencana tentu lebih menarik.

Kak Ram - benar atau tidak, nilai komesial mengatasi segala-gala kini termasuk moral... Tak dijemput baik dgn telefon atau surat. Tu yg tak pergi tu...

Rasha_rz berkata...

kalau nilai komesial bisa mengatasi apa sahaja termasuk moral..., mari kita moralkan novel2 komesial. biar novel2 popular dipandang gah khalayak pembaca melalui nilai bahasa dan moralnya.
cinta ada di mana2 dan sesiapa jua mendambakan cinta,tetapi bagaimana cinta itu dipupuk,itu yang penting. wallahualam...

zaiful berkata...

salam... pelajar perlu didedahkan dengan karya-karya yang merangsang ciri-ciri juara dalam diri mereka..terima kasih

Nazmi Yaakub berkata...

saya sekarang di kawat.blogspot.com

悠悠 berkata...

hi, i am a Chinese Malaysian, doing my master degree in China University , i am now doing some research about Malay Literature, its nice to visit your blog and sharing about the literature.