Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, Oktober 04, 2007

LIMA SOALAN DAN LIMA JAWAPAN

1. Apakah yang paling payah dalam proses menulis?
Memulakan ayat yang pertama. Itulah yang paling payah dan jika tidak teguh idea, akan tertangguh berhari-hari atau hilang terus. Kata orang, pembaca akan menilai dari ayat pertama.

2. Genre manakah yang lebih mudah? Puisi, cerpen, novel atau skrip drama?
Untuk menjawab soalan itu – saya lebih suka merujuk kepada genre mana yang paling susah – puisi. Mungkin saya masih belum ranum dengan puisi. Umpama buah yang tak cukup baja. Genre cerpen agak rumit dan terhad tetapi untuk menulis novel adalah lebih mudah jika berkemahiran menulis cerpen terlebih dahulu. Biasanya selepas menulis novel – penulis akan kurang kembali ke cerpen. Kenapa? Ruang dalam novel lebih luas dan bebas. Genre paling mudah adalah skrip drama. Apabila sinopsis telah ada dan mempunyai watak jelas – ia akan mengalir di hujung jari.

3. Petua untuk tidak putus idea?
Bergantung kepada diri penulis sendiri, paling mudah adalah membaca, diikuti melayari internet (untuk menyelidik), melihat telatah manusia di tempat awam (untuk mentafsir watak) dan mengembara (untuk mendapatkan latar tempat). Jangan lupa, kita tidak pasti tempat kita tinggal menarik tetapi orang yang datang melawat kita pasti akan mengatakan menarik. Tidak pelik bukan?

4. Bagaimana untuk terus lestari dalam penulisan?
Penulis tidak akan dikenali hanya dengan sebuah novel. Perlu menulis banyak buku, kumpulan cerpen atau dua atau tiga buah kumpulan puisi. Untuk terus lestari – bergaul dengan masyarakat penulis. Ikuti diskusi, sembang puisi dan sertai sebarang majlis penulis. Paling penting – jika tinggal di tengah belantara dan di puncak gunung seperti saya – sertai komuniti internet – kepezi atau e-sastera mahupun spm gapena. Jika saya ada urusan kerja atau kursus di suatu tempat, pasti saya akan mencari kenalan penulis di tempat itu untuk sembang-sembang mengisi masa senggang hingga menjelang dinihari. Kita bercakap dalam bahasa yang sama bukan?

5. Bagaimana mengurus idea?
Sungguh saya menulis dengan komputer riba tetapi sebuah buku nota mesti sentiasa bersama saya. Buku nota itu mencatat sebarang idea yang melintas, juga sinopsis-sinopsis novel atau cerpen. Pada satu-satu masa, saya mempunyai stok sinopsis yang masih belum bergerak menjadi cerpen atau novel sehingga 4 atau 5 buah. Kadang-kadang sinopsis itu terus terbiar dan ada yang terus digarap. Dengan demikian apabila saya jemu menulis satu novel, saya akan beralih ke novel yang lain. Atau masa senggang sejam di waktu bekerja, saya akan menulis satu skrip drama pendek. Proses menulis saya tidak akan berhenti.

Saya sering cemburu dengan rakan penulis sepenuh masa. Alangkah… Jika saya berkesempatan menulis sepenuh masa.

Dari Beranda Apartment
Brinchang

15 ulasan:

Zalisa Maz@ZN Isa berkata...

Tidak perlu cemburu pada orang seperti kami, kerana satu buku terbit setahun, pendapatan RM2000 lebih kurang. Nak makan apa ya, dgn RM sebanyak itu?

Serunai Faqir aka SF berkata...

Takat cemburu tak jadi apa, mai kalau berani!Ckp banyak tak guna. Hehehe selamat hari raya ...

zulkhair berkata...

Kholid wajar cemburu. Malah cemburu + yakin. Bergaullah dengan penulis yang rezekinya dengan menulis.

ainon mohd berkata...

Perlu cemburui Sifu. Sudah lama hidup sebagai penulis sepenuh masa. Jadi, pendapatannya lebih daripada RM2000 setahun. Syukur!

Rahsianya? Satu pokok getah takkan jadi satu estet - kata pepatah Tamil!

Sampai saat dia ini masih menulis. Bukan lagi didorong oleh duit buat belanja hidup, tetapi sebab suka kerja menulis.

Buku kecil yang terbaru siap ditulis: "Doa-doa kesukaan Nabi Muhammad".

Nur berkata...

Salam, Saya mencemburui orang-orang yang mempunyai bakat penulisan kreatif ni...anyway SELAMAT HARI RAYA DARI KAMI, kalau balik Perlis mai la rumah tapi macam biasa la call dulu ye.

Abang Long berkata...

Teruskan perjuangan Saudara !

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir & Batin. Semoga ceria berhari raya bersama keluarga tersayang. Berhati - hati dijalan raya. Ingatlah keluarga tersayang. ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Selamat Hari Raya.

Siti Hajar

Rasha_rz berkata...

hai kholid. salam singgah dan selamat hari raya aidilfitri. kak ila setuju, puisi lebih susah dari menggarap sebuah novel.tapi bagi yang sudah biasa, untuk menyedia sebuah puisi yang indah, hanya umpama memetik dua jari. kak ila bermula dari puisi, beralih ke cerpen, ke skrip drama tv dan kini rasa cinta sekali pada genre novel. alhamdulillah. Eh, awak ada terima ofer dari DBP? Simposium Penulis Pelbagai Kaum Ke viii Sempena Hari Sastera 2007 di Kuantan? Kita pergi nak? 26-28/10.

ISBIHA berkata...

Tahniah dan terus menulis. Terima kasih kerana singgah ke blog saya, cuma saya tidak sempat meninggalkan mesej dan ucapan terima kasih di dalam blog saudara.

Salam perjuangan. Anda punya potensi besar.

Ainin Naufal berkata...

Hmm... puisi memang sukar. Kalau saya tulis puisi, hahaha... wajib diketawakan.

Rasha_rz berkata...

mana N3 terbaru?tidor ke? senyap... je?

mohamadkholid berkata...

zaliza, sf, zulkhair, pn ainon
saya cemburukan masa yang ada pd penulis sepenuh masa. untuk menjadi penulis sepenuh masa skrg - tak mampu... maklumlah hutang dah banyak!

nur, abg long, siti hajar
selamat hari raya juga adanya...

kak ramlah rashid
saya dpt juga jemputan tu... lepas raya baru terima - maklumlah saya cuti hampir 10 hari. ingat nak pegi juga tapi tempat dah penuh. selamat berbengkel!

ainin,
sama la kita adanya... seronok beraya di kg?

blackpurple @ jowopinter berkata...

Saya bukan penulis, cuma suka membaca tulisan penulis... :)

Perkongsian yang menarik! :)

Khairusy Syakirin Has-Yun berkata...

Penulisan puisi bagi saya walaupun pendek berbanding dengan novel atau pun cerpen, ia tetap sukar kerana pemilihan kata-kata yang perlu mantap bagi mewakili perumpamaan yang difikirkan.

Salam persahabatan, dan terima kasih kerana berkunjung ke laman saya.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila berkata...

Salam hormat,

Sdr Kholid, hari ini saya berasa bertuah kerana berjumpa blog anda. Izinkan saya simpan petua2 anda ini untuk digunakan pada masa akan datang.

Saya bermula dari puisi. Untuk menuju cerpen/novel/skrip drama memang payah buat saya. Namun, suatu hari nanti berkat perkongsian ilmu di blog2 penulis, saya berjaya juga ke arah itu.

Salam ukhuwah daripada saya. Saya suka penulis lelaki. Mereka lebih jujur dan matang dalam kata-kata. Ini tidak bermakna saya menidakkan kekuatan penulis wanita. Masing2 dgn kredibilitinya.

Teruskan berkarya.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kuching Sarawak