Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Isnin, Jun 11, 2007

Tentang Tebal

Mengimbau kembali dengan pertemuan dengan Marsli N O di Restoran Alif, Kuantan awal bulan ini. Kami berbual seputar sastera dan perkara yang paling panjang dibualkan – tentang tebal.
Rupa-rupanya ramai penerbit yang berminat untuk menerbitkan manuskrip yang tebal. Setebal mungkin – lebih baik, hatta untuk novel kanak-kanak pun. Perkara ini mungkin disebabkan pengaruh Harry Potter yang melanda dunia hari ini. Semakin tebal dikatakan semakin mendapat tempat di rak-rak buku kedai buku terkenal – mudah dilihat, mudah dipamer dan mudah dijual. Maka penulis-penulis pun mulalah mengikut rentak kehendak penerbit, menulis yang tebal-tebal dan sering ketandusan idea sehinggakan membancuh secawan nescafe pun ditulis. Botol nescafe dibuka perlahan, kucapai sudu dan menyenduk seenak rasa. Air panas dan serbuk nescafe berbaur menerbitkan aroma yang enak sekali pada pagi-pagi begitu – segarnya.
Soalnya perlukah? Apa yang ditulis itu mengembangkan watak atau plot kah? Atau sekadar santaian cerita tanpa keperluan hujung dan pangkalnya?
Tidak dinafikan novel yang tebal-tebal selalunya menjadi pilihan pembaca – biasanya bakal pembaca akan membelek dan mengandaikan berapa lama dia akan menghabiskan novel itu – satu hari? Dua hari atau seminggu? Ia dikaitkan dengan nilai wang yang akan dikeluarkan. Membeli sebuah novel 500 mukasurat dan akan dibaca selama seminggu – berbaloi pada pandangan pengguna@pembaca berbanding membaca novel nipis yang boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam. Tetapi apakah gagasan yang diutarakan novel tebal-tebal itu – sekadar bacaan ringan atau santai – sehinggakan memasukkan ide-ide yang biasa-biasa dan seharian bagai hanya memenuhi tuntutan ketebalan?
Seringkali penulis tidak dapat menjangka berapa mukasurat novelnya akan ditulis – hanya selepas plot berkembang dan gagasan ide terlaksana – mungkin anggaran mukasuratnya terpelencong tetapi paling penting plot dan wataknya berkembang dalam cerita. Bukan sekadar catatan yang hilang hujung dan pangkalnya. Jika penerbit melihat dari segi bagaimana mahu menjual novel itu – melihat ketebalan sebagai faktor yang mendorong, penulis yang mencipta novel perlu melihat keseluruhan isi, perkembangan watak dan plotnya. Bak memugar tanah, menentukan jenis benih dan memastikan bagaimana kebun itu akan terhasil.
Teringat sewaktu di universiti dahulu – ada juga pelajar dan pensyarah yang menimbang isi kertas kerja berdasarkan ketebalannya… Timbang kilo katakan!

Kuala Kubu Bharu

11 ulasan:

nooryahaya berkata...

http://www.blurb.com

i was just surfing, checking out things and found this website, where you can be your own publisher, writer etc.
kumpul lah member member tu, even if you do it individually, you can do it. just publish your own stuff, and sell your own.
the trick to success is in the marketing.

Tanpa Nama berkata...

Kertas kerja yang tebal tak semestinya bagus isinya. Zaman IT yang canggih, ramai yang bijak pandai copy paste saja untuk dapatkan AAAAAAA.

Tanpa Nama berkata...

Saya mohon izin link blog saudara ke blog saya. Alif Redzuan.

saridahamid berkata...

Assalamualaikum,

Sdr.Kholid,

Adik saya peminat novel pernah membeli novel tempatan tebal dengan harga RM49.90. Ingatkan isinya mesti tip top, tetapi hampa harap tebal tapi jalan cerita hancur dan entah apa-apa. Akhirnya, adik saya yang hantu novel itu tidak dapat menghabiskan bacaannya kerana terasa tertipu dengan sipenulis yang rasa dirinya hebat!

Ainin Naufal berkata...

Itu taktik penulis nak mengelat, supaya bukunya tebal. (Saya pun pernah, sikit-sikit. Aduh!) :P

Pernah terbaca novel yang diulang-ulang fakta dalam jus epal dan rasa kopi, cara goreng mi, sampai naik jelak. Agaknya nak ngelat juga tu. :P

Macamlah saya bagus! Hihihi...

** Bila kali terakhir balik tg. karang?

mohamadkholid berkata...

copy and paste - sudah jadi budaya agaknya...

sdr alif redzuan,
dialu-alukan - terima kasih

sdr sarida hamid,
saya juga kena tipu... he..he..he..

sdr ainin naufal,
lama juga tak balik - hampir 2 bln

Latiptalib berkata...

Ye novel tebal memang sedap dipegang dan sedap dipandang. Saya pun kalau boleh hendak tulis novel yang tebal juga tetapi takut juga kalau pembaca boring membacanya apatah lagi rasa tertipu.

Najwa Aiman berkata...

Tebal tu bagus klau isinya okey. Menggalakkan pembaca novel tempatan lebih menjurus ke arah novel berat secara timbang kati. Nak jual kat tauke surat khabar lama pun lebih sikit hasilnya.

Sejarah Melayu dan Hikayat Munshi Abdullah pun tebal juga dulu.

Yang nipis pun okey, tapi kalau boleh dikembangkan isinya, kenapa tidak?

denai berkata...

macamana untuk menebal

Nisah Haji Haron berkata...

Salam,
"The Old Man and the Sea" (Hemingway) tidaklah setebal mana. Begitu juga "Metamorphosis" (Franz Kafka), sekadar dua contoh yang membuktikan bahawa pemikiran yang 'tebal' itu jauh lebih baik dan bertahan lama daripada misalnya karya-karya pop seperti Judith McNaught, Danielle Steel dan yang seangkatan dengannya.

Adakalanya, karya yang tebal (jenis yang timbang kilo) demi mewajarkan ketebalan itu, penulis memasukkan segala benda dan secara tidak langsung boleh menghina pembaca.

Cadangan saya, marilah kita menulis karya dengan ketebalan yang wajar supaya pembaca juga diberi peluang menikmati karya itu serta mendapat ruang untuk berfikir sambil membacanya.

Bukankah itu lebih baik?

zaidakhtar berkata...

Inilah masalah saya barangkali.
Novel saya nipis-nipis belaka, hinggakan pembaca 'takut' nak beli.