Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Rabu, Mac 07, 2007



Kenapa Perlu Memperkenalkan Diri Sebagai Seorang Penulis?

SEPULUH tahun dahulu, aku bukan siapa-siapa. Hanya seorang pegawai kumpulan B dalam perkhidmatan kerajaan. Kumpulan B adalah kumpulan paling malang sekali. Sebagai kumpulan sokongan 1 yang tidak diwakili Cuepacs kerana jawatan kumpulan tertinggi dalam Cuepacs rata-ratanya Kumpulan C dan D. Tiada pula kesatuan sekerja khas dalam Kumpulan B ini. Maka kenaikan gaji Kumpulan B tidaklah sebaik Kumpulan A dan tidak sebanyak (dari segi peratusan) Kumpulan C dan D. Ketika itu orang seperti aku akan menjadi ketua pejabat di daerah-daerah. Tersepit apabila diarahkan melaksanakan tugas samada bermenafaat untuk jabatan atau tidak. Sekarang, aku masih dalam jawatan ini. Cuma jabatan mana pun sudah di ‘up-grade’ dengan rata-rata ketua pejabatnya Kumpulan A.

Sesuatu yang aku belajar – jangan lawan ketua. Laksanakan arahan jika mampu dan jika arahan itu berlawanan dengan prinsip – diam sahaja. Kalau selalu melawan, selalu menyatakan buah fikiran – alamat akan di ‘blacklist’. Bekerja dengan cara ini rupanya begitu menghenyak perasaan. Kita melihat kepincangan tetapi dalam pada masa yang sama kita gagal melakukan apa-apa. Berdosakah kita?

Seorang teman penulis yang sebelum ini dalam perkhidmatan PTD memilih untuk melepaskan jawatan kerana soal prinsip dan kebebasan menyatakan pendapat. Sekarang dia sudah jadi penulis bebas, pemuzik sepenuh masa dan penceramah motivasi. Ah, bukankah sudah jadi impian setiap penulis untuk menjadi penulis sepenuh masa – walau pun di negara ini ramai yang tidak yakin penulis sepenuh masa boleh hidup.

Sekarang, berpindah ke jabatan yang baru – aku mula belajar memperkenalkan diri sebagai seorang penulis. Sungguh, jika kita tiada buku yang sudah terbit atau cerpen yang sudah tersiar dalam akhbar arus perdana – mungkin kita rasa rendah diri untuk memperkenalkan diri sebagai penulis. Jadi – capai matlamat itu terlebih dahulu.

Sedar atau tidak, penulis seakan menjadi tabu kepada sesiapa pun. Mata pena mempunyai kuasa yang sangat besar dalam dunia hari ini. Kita boleh menulis kepincangan politik, rasuah dan salah guna kuasa, hatta cerita jenaka pun dengan cara tidak menyinggung mana-mana pihak tetapi rakan sekerja atau pun ketua pejabat kita tentu tidak mahu kisahnya menjadi plot cerpen atau novel kita. Dengan demikian, pandangan dan suara kita akan didengar. Kata orang diam-diam penulis – merenung dengan fikiran yang terbuka. Mentafsir setiap ruang yang berlalu.

Penulis adalah pekerjaan profesional. Sebuah universiti mungkin boleh mengeluarkan 100 orang doktor, 100 orang jurutera dan 100 orang akauntan. Tetapi tiada sebuah universiti pun yang pasti akan mengeluarkan seorang penulis setiap tahun pengajiannya. Untuk menjadikan seorang penulis yang mapan, mungkin mengambil masa 10 atau 20 tahun, itu pun bergantung kepada kesinambungan karyanya. Dengan itu saudara-saudara sepatutnya berbangga memperkenalkan diri sebagai seorang penulis...

3 ulasan:

Najwa Aiman berkata...

mata pena sekarang dah diganti papan kekunci la pulak! Tapi masih tajam, kan? Ada menteri tak setuju. Tengku Adnan Mansor marah sangat dengan penulis blogger.

mki berkata...

Ketika mana mahu memperkenalkan diri? Penulis? Pensyarah? Profesor? PM?

Saya fikir, cukup: Saya Kamil. Muhd Kamil Ibrahim.

Tahniah atas penulisan yang telah diterbitkan.

Maslina Mahbu @ Armiza Nila berkata...

Salam,

Saya setuju dengan pendapat anda. Bukan mudah menjadi seorang penulis dan sekaligus berkhidmat dengan kerajaan. Kadang2 niat betul kita dipersalahkan ketua. Ada ketua yang sanggup mengocak periuk nasi kita kerana dikatakan mementingkan tugas sendiri berbanding kewajipan di pejabat. Tapi, sebenarnya dia tidak faham prinsip seorang penulis. Saya bersuara melalui penulisan meskipun kekadang mulut saya terkunci di depan ketua demi menjaga periuk nasi saya yang tak seberapa. InsyaAllah, jangka panjang lepas pencen 2031 , saya bercadang jadi penulis sepenuh masa atau lebih awal daripada itu, Wallahu'allam...