Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Sabtu, Februari 24, 2007

Proses Kreatif - Kabus di Perbukitan

Saya tidak menjangka novel ini berjaya merangkul hadiah saguhati di Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Motif utama saya menghantar novel ini ke sayembara adalah untuk mengukur keupayaan saya dalam gelombang dunia sastera.

Ia adalah novel yang kedua saya tulis – novel yang pertama (yang ditulis 10 tahun lalu) masih dalam simpanan sebab saya gusar dengan mutunya. Novel ketiga pula – sebuah projek penulisan DBP dengan bimbingan Zaharah Nawawi, insya-Allah akan terbit dalam masa yang terdekat. Sungguh pun begitu Kabus di Perbukitan yang saya mula tulis pada tahun 2000 hanya siap setelah novel ke tiga saya siap. Pelik bukan? Itulah yang dikatakan pasang surut penulis - kadang kala ia terhenti beberapa lama dan disambung kembali bila ide datang.

Penulisan novel ini bermula dengan berkisar pengalaman bertugas di Sabak Bernam. Sebuah daerah yang begitu akrab dengan kehidupan masa kecil saya di Tanjong Karang, Selangor. Saya menggali hati nurani masyarakat Banjar, yang sama sekali sukar untuk saya memahami budaya dan bahasanya. Sedang saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat Jawa yang rumit budayanya. Plot utama penceritaan bahagian pertama novel ini berkisar kepada rencah hubungan telepati antara dua orang kembar yang terpisah. Seorang hilang dan kemalangan berhampiran Bukit Fraser manakala seorang lagi sedang berjuang dengan maut di HUKM. Mereka ditemukan dalam alam yang serba aneh 100 tahun yang silam ketika Bukit Kutu menjadi pusat peranginan British dan ampangan bijih timah pecah yang membinasakan seluruh Pekan Kuala Kubu. Peristiwa ampangan pecah ini menjadi trauma kepada penduduk Kuala Kubu sehingga sekarang - langkah kerajaan membina Empangan Sungai Selangor di Pertak mendapat bantahan awam tetapi projek tetap dilaksanakan.
Bahagian kedua novel adalah kisah dua puluh tahun kemudian, si kembar yang hilang sudah berhijrah ke New Zealand – tinggal bersama suami seorang muallaf berkulit putih, mempunyai sepasang anak kembar juga dan mengusahakan ladang ternakan. Bahagian kedua begitu mencabar dengan pertembungan budaya Melayu Islam lawan kacukan Melayu Islam lawan Arab moden yang runtuh. Fasalfah hidup dan beragama bertembung ketika mempertahankan acuan pegangan. Bahagian ini amat mencabar dan saya hanya mampu menyelesaikan satu bab dalam dua minggu untuk mendapatkan karya yang benar-benar menyampaikan intinya.
Proses kreatif menulis novel ini begitu menyakitkan. Saya terpaksa mencatat dialog dalam buku kecil setiap kali ide itu muncul kerana jadi begitu takut ia akan muncul dan lenyap tanpa sempat diolah. Sepanjang proses ini serasa berada dalam dunia yang tersendiri, saya lah watak-watak yang bermain dalam plot. Saya lah juga pentafsir yang sering menjadikan kabus mengisi segenap ruang pemandangan dari pejabat saya di Cameron Highlands sebagai sumber ilham. Ketika itu, saya belum mendapat rumah – bermalam di pejabat dan bersendirian kerana keluarga masih belum ikut berpindah. Setiap petang, jika ada kesempatan saya akan duduk dengan buku kecil dan pen di tangan di perkebunan teh sama ada di Bharat Tea Plantation atau pun di Ladang Boh Sungai Palas. Kabus saya jadikan lambang kerana ia mengindahkan alam. Suasana akan lebih ‘cantik’ dan ‘indah’ jika kabus menyelubungi. Cuba bezakan satu pemandangan – satu berkabus dan satu lagi tidak berkabus. Yang mana satu lebih indah? Begitulah, alam ditafsir sedemikian di tangan seorang penulis.

Brinchang

10 ulasan:

MYA MARJA berkata...

Assalamualaikum,

Tahniah kerana kemenangan itu!
Nampak gambar Faisal Tehrani sedang tersenyum mekar, indahnya dapat RM74 ribu! Sedangkan daku baru hendak mengenal A B C. Langkah yang masih jauh untuk mengekori.

Tahniah, sahabat!

Mya Marja.

Zaharah berkata...

Tahniah, Tuan Mohd Kholid.
Tahniah. Teruskan berkarya. :)

ita... berkata...

maaf... salam perkenalan dari ita. tahniah juga dari saya...

jika berkesempatan, jemputlah ke blog ita - bmku.blogspot.com

ita suka menulis puisi, sekadar kata2 yg lahir dari hati yg gundah gulana...

Tanpa Nama berkata...

Tahniah mohdkholid. Cemburunya sama kamu...

~zalisa maz~

Najwa Aiman berkata...

weyy...!!!! ko tak penah bgtau aku pun ko masuk pertandingan! (tp hati2 jgn smpe jd novelis peraduan semata2 sebagaimana yg telah dicap kpd penulis tertentu di mesia ni). mana gambar covernye?? aku nak iklankan kat Khayal.

Tanpa Nama berkata...

En. Kholid,

Tahniah dari pts one.

Jangan berhenti menulis penyiasat ekstrovert ya. Peminat sudah semakin ramai...

nor@ptsone

ekspresi berkata...

tahniah. teruskan menulis dan 'rasailah' atau 'rasakanlah' penat, jerih, lenguh dan seronoknya berkarya!

wahyu budewa rendra berkata...

kanda, teringat masa kita duduk2 berbincang di PD, N9 hingga ke petang dengan kanda ustaz. mengulangi lagi pertemuan itu - duduk semeja - dgn sifu kita. tahniah, kanda!

Tanpa Nama berkata...

tahniah... tak kusangka ,...cempedak menjadi nangka... rupenye ade di balik rimbunan JKM sendiri ade sebutir mutiara yang suke duduk menjauh diri... patutnye... satu JKm perlu diwar-warkan supaya mutiara ni dijaga dan diletakkan di teampat yang sebaik mugkin.... perrrh... i pun nak start buat novel... ... ct gombak

mohamadkholid berkata...

mya marja - terima kasih. aku dahu juga merangkak sebelum bertatih...

zaharah - terima kasih. anda juga penulis novel yang sangat berbakat

ita - salam lestari...

zaliza - teringat pertemuan ketika di sek alikhlas lalu. saya masih muda... otak sahaja tua

najwa aiman - DBP belum cetak lagi lah novel tu...

pn nor - penyiasat ekstrovert akan terus berkekalan - sehingga siri ke 10 tahun ini. Insya-Allah!

arif - begitu jerih - terasa berada dalam dunia yang tersendiri ketika menulis novel. Jika saya tak selesai - maka hidup saya seputar itulah.

rendra - tahniah buat anda juga. strawberi itu rendra - rendra itu penggemar strawberi...

ct gombak - penulis ini terasing - bukan sesiapa yang mengejar S32 atau S41. Biarkan daku di sini - merenung gunung yang sentiasa teguh dan setia...