Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, November 23, 2006

MENGGARAP IDEA

Soalan paling lazim yang aku terima dan paling malas untuk aku jawab – bagaimana mendapat idea untuk menulis? Soalan ini juga yang kau terima sewaktu menghadiri kursus jabatan minggu lalu. Dalam satu sessi tentang kesukarelawan – kami diminta memberitahu kerja apa yang kami buat selain dari tugas hakiki kami di luar waktu pejabat. Ada teman-teman yang menjelaskan – menjadi petani, penternak kambing dan lembu, malah kerja-kerja lain yang jarang kami dengar seperti penarik kereta dan siak masjid. Hanya aku seorang yang mengistiharkan diri seorang penulis. Lalu persoalan jadi panjang dan bertele-tele termasuklah soalan paling lazim yang paling malas aku jawab itu.

Pada diriku – tidak perlu menunggu ilham atau idea tiba. Atau mencari tempat-tempat yang strategik untuk menulis seperti di tepi tasik, walau pun tidak dinafikan aku memang mencintai keindahan alam – tidak kiralah tasik, lautan mahupun pergunungan. Ilham tidak boleh di tunggu, perlu dicari. Bagaimana mencarinya? Melalui pembacaan, pengamatan, perbualan dan mungkin juga penyesuaian dari fakta (jadi berhati-hati berbual dengan penulis – anda mungkin jadi penyumbang idea kepadanya). Apartment tempat tinggalku di tingkat dua menyajikan pemandangan hutan kecil, anak sungai yang mengalir dengan bunyi yang menderu dan kebun strawberi. Walaupun pemandangannya indah tetapi aku senang menulis di waktu malam – dua jam sehari tanpa gagal. Ini bermakna pemandangan indah itu tidak bererti kerana gelap!

Apa yang sifu Zaharah Nawawi ajar kesinambungan dalam menulis paling penting. Jangan sesekali berhenti menulis lebih dari tiga hari – alamat untuk menyambungnya bagai kapal layar putus angin di tengah Laut China Selatan. Tiga hari jadi seminggu, seminggu jadi sebulan dan kemudian jadi berbulan-bulan. Kita akan mengemukakan pelbagai alasan pula (yang wajar) untuk tidak menulis – sibuk dengan kerja, atau sibuk dengan anak/suami (bagi wanita) dan alasan yang paling logik sekali kekeringan idea. Sebab itulah ada seorang teman penulis yang kemudian baru sedar sudah bertahun-tahun dia tidak menulis. Dan dia beriya-iya bertanya bagaimana mahu memulakannya semula.

Sekurang-kurangnya jika tidak ada idea pun, sekadar membuka fail di komputer – baca sekali imbas dan buat penambahan atau pembetulan. Insya Allah idea akan datang dan boleh digarap. Tak perlu mengunjungi tepi tasik, memanjat gunung atau menunggu senja usai di pantai untuk mencari ilham. Bukankah lebih ramai penulis yang tinggal di Lembah Kelang yang serba serbi sibuk dan kacau itu?

7 ulasan:

Ronan Jimson berkata...

Good day mohamadkholid, This is a good article site.
i found many information here.
-----------------------------------------------
http://global-in-arm.com
Good luck, mohamadkholid

zulkhair berkata...

Positif. Kalau org tanya berjela2, maknanya minat dengan dunia penulis ataupun pelik dan hairan apa fasal buat kerja menulis!

Tanpa Nama berkata...

salam ziarah jg

mohdzaki

lutfi berkata...

menulis kerja yang memenatkan. suatu ketika saya boleh menulis bila-bila masa sahaja. selepas itu saya buntu. tiga tahun - menulis apapun rasa tak jadi sampai menyampah tengok tulisan yang kita tulis. sampai tahun ini; saya sudah boleh menulis kembali; tapi tak boleh menulis di rumah; mesti di tempat yang bising seperti kedai kopi, pusat beli belah dll. bila balik dan samnbung tulis di rumah tak menjadi. mungkin itu cara kerja. mungkin

Najwa Aiman berkata...

aku takut nak menulis kat tempat sunyi... takut terhasilkan cerita mona gersang pulak..!!! ekeke...

bila nak bagi aku senaskhah buku ko untuk aku buat koleksi?

Serunai Faqir aka SF berkata...

Aku tengah putus angin nak menulis ni Lid, kena pergi bertapa ke tempat kau gayanya ni.

mohamadkholid berkata...

Zul - nak jawab soalan selalunya malas juga...

terimakasih sdr zaki..

lutfi - org bandar begitulah. kat sini jika saya menulis di kedai kopi atau kedai mamak janggal rupanya. saya suka menulis di little penang, mid valley.

adzam - ha... ha... ha...

sf - dtg le... kita boleh lepak kat puncak gunung brinchang. tapi aku takut kau juga tak boleh menulis kat situ fasal tangan ketar