Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Jumaat, September 22, 2006

Ramadan Datang Lagi

KEHIDUPAN penuh dengan warnanya, falsafah yang kau utarakan kepadaku ketika kita bersama dahulu masih bermain di ingatanku sahabat. Benarlah seperti yang kau nyatakan. Kehadiran cahayamata dalam hidup kami suami isteri umpama satu kurniaan tidak ternilai dari Allah SWT. Meskipun kelahirannya dalam suasana yang mendebarkan kerana isteriku menghadapi masalah tetapi aku bersyukur, anakku selamat dilahirkan. Kau tahu, air mataku menitis apabila beberapa bulan kemudian doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kehidupan yang akan kami lalui tidak akan mudah lagi.

Hospital menjadi rumah kedua kami. Doktor, Speech therapist, Jurupulih Carakerja dan Pegawai Kebajikan menjadi rakan kami. Hidup kami sentiasa sibuk dan masa berjalan begitu pantas. Kini telah hampir lapan tahun berlalu. Kau tahu, dalam usia ini sepatutnya anakku memakai pakaian seragam sekolah, baju kurung putih dan kain biru tetapi anakku masih lagi berlampin pakai buang. Sekolah? Lupakan sahaja, untuk masuk ke kelas pendidikan khas pun masih jauh. Sahabat, anakku masih belum boleh bertutur lagi. Kecacatannya, mental tetapi lebih jelas lagi dipanggil autisme.
Hidup ini perjuangan dan kami akan meneruskan perjuangan ini. Aku mendengar khabar kau bergiat aktif dalam sayap kanan parti. Teruskanlah sahabat, semuga suatu hari nanti akau dapat berbangga salah seorang teman sekuliahku menerajui kepimpinan negara. Cuma aku pohonkan kau perjuangkanlah nanti nasib anak-anak seperti anakku ini. Orang Kurang Upaya, OKU. Sedang perkataan yang paling lumrah keluar dari mulut adalah cacat. Sungguhpun begitu aku tetap memperkenalkan kepada orang yang bertanya bahawa anakku ‘anak istimewa’ kerana ia perlukan perhatian dan layanan yang istimewa. Sayang sekali layanan yang sering kami terima tidaklah seistimewa mana pun, sahabat. Perbandaran di negara kita tidak mesra kepada OKU, bahu jalan menyusahkan orang buta dan orang berkerusi roda. Bas-bas dan LRT menyediakan tempat duduk istimewa tetapi kemudahan untuk ke stesyen masih lagi bertangga dan tiada landasan khas untuk mereka.

Bukan sahaja kemudahan di perbandaran yang tidak mesra, layanan orang ramai kepada warga OKU masih lagi seperti warganegara kelas dua. Inilah yang perlu kau perjuangkan, sahabat. Letakkan ia sebagai satu agendamu. Aku pasti kau akan mudah di kenali di kalangan NGO sebagai seorang peminpin yang sangat prihatin terhadap kepentingan masyarakat. Jangan kau jadikan kepentingan diri jadi agenda, nescaya lambat laun rakyat akan memusuhimu. Aku kadang kala bosan, bergiat dalam NGO untuk membantu tetapi ada segelintir peminpin yang kami pilih mempunyai agenda sendiri. Mereka menyertai NGO hanya sebagai batu loncatan untuk maju dalam politik. Sahabat, berbuat baik pasti akan dikenang. Jatuh di lautan menjadi pulau, terdampar di daratan menjadi gunung. Ingatkah dahulu sahabat, idealisme perjuangan kita sebagai peminpin mahasiswa. Tegas dan kukuh pendirian, percaya kepada ideologi. Masih setiakah kepada perjuangan untuk agama dan bangsa atau kini kau sudah menyesuaikan perjuangan dengan keperluan diri? Maafkan aku sahabat, sebenarnya perjuangankulah yang telah berubah. Perjuanganku hanya untuk masa depan anakku ini. Aku tidak mampu lagi dengan idealisme era mahasiswa dahulu. Ia sudah tinggal sejarah dalam hidupku.

Kau tahu beberapa hari lalu aku membawa anakku ke sebuah gedung membeli belah yang agak terkenal di ibu kota. Perlahan-lahan isteriku meminpinnya mendaki tangga hingga mengganggu orang lain yang mahu membeli belah. Kau tahu apa kata seorang pengunjung, “Sudah tahu anak awak cacat, bahawa ke tempat orang ramai.” Itulah hakikatnya sahabat. Seperti yang kukatakan tadi, OKU masih disisihkan di negara ini. Tidak tahukah mereka jiwa OKU ini amat sensitif, kekurangan dalam diri bukan dipinta.
Sahabat, walau apapun cacian dan pandangan serong orang, anakku tetap tersenyum . Kalaulah dia dapat mengerti. Aku sudah alah dengan sindiran dan senyum sinis orang, malah aku sudah tuli dan buta hati barang kali. Padaku mereka lebih cacat lagi dari orang yang cacat. Bukan ketidaksempurnaan ini permintaan mereka tetapi ketetapan Alalh SWT. Sering mereka terlupa ramai lagi manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah, seperti mereka yang sedang menghuni pusat serenti dan penjara. Siapakah yang lebih hina, orang kurang upaya ini atau mereka yang menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan, arak, dadah dan pelbagai jenayah.

Perasaanku? Allah sahaja yang mengetahui sahabatku. Ketika anak orang lain berlari riang bermain di taman, anakku hanya berupaya berjalan dengan pimpinan tangan. Aku tahu kau amat minat membaca dan kau tentu pernah membaca novel karya Rohani Din, Diari Bonda. Begitulah keadaan anakku sahabat. Sering kali imbasan kehidupan watak Siti berbaur dengan watak sebenar anakku, sahabat. Dahulu ketika dia masih kecil dan sering sakit, kerap aku bertanya kepada diriku sendiri, apakah dosa yang pernah aku lakukan? Begini besar cubaan Allah kepadaku, sahabat. Pada umurnya tiga bulan, anakku sering di serang sawan. Aku hanya mampu melihat, aku tahu dia menderita. Sawan memusnahkan saraf otak dan mejejaskan pertumbuhannya. Isteriku hanya mampu menangis tetapi airmataku sendiri telah kering. Kau tahu, kami tidak jemu-jemu berikhtiar. Dari satu bomoh ke satu bomoh kami tandangi, dari satu tarikh ke satu tarikh temujanji dengan pakar-pakar perubatan. Hanya harapan yang tinggal dan esok tetap datang.
Kau tahu kekerapan memenuhi temujanji dengan doktor di hospital memberi kekuatan kepada kami. Semasa kami menunggu giliran, pelbagai jenis penyakit dan nasib kanak-kanak kami lihat, sering kami bersyukur dengan keadaan anak kami. Ada orang yang menerima cubaan yang lebih teruk lagi. Ibubapa bertukar-tukar khabar tentang anak-anak di hadapan mereka dan bukan sedikit pengetahuan yang dapat kami timba. Benarlah pengalaman itu lautan ilmu yang tidak ternilai harganya.
Sahabat, kekerapan ke hospital boleh menimbulkan masalah juga. Kau tentu tahu pasti majikan agak cerewet tentang hal ini. Isteriku terpaksa melupakan kerjaya yang diminatinya, hanya kerana masalah cuti. Majikan yang aku rasa bertoleransi dalam hal ini hanyalah kerajaan tetapi ketua pejabat pun sering menimbulkan masalah. Ada yang tidak faham atau tidak mahu memahami. Pernah suatu waktu dahulu tuntutan perjalananku ditolak sedang ia telah termaktub dalam Perintah Am. Aku tidak ambil kisah sahabat, asalkan aku dapat menemani anakku ke hospital sudah memadai. Malah ada rakan yang menerima nasib yang lebih buruk, ditukarkan tempat bertugas ke kawasan pendalaman yang jauh dari hospital. Tidakkah mereka tahu, anak-anak ini anak istimewa yang memerlukan perkhidmatan doktor pakar yang hanya ada di hospital-hospital besar.

Ramadhan datang lagi sahabat, bagiku kedatangan Ramadhan bagai satu harapan dalam keluarga kami. Cabaran menghadapi haus dan kelaparan di bulan Ramadhan tidak sehebat cabaran yang kami hadapi selama ini. Menjaga anak istimewa amat memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan semua orang mampu memikulnya. Sudah dua orang pembantu rumah kami yang melarikan diri. Agaknya jika ditakdirkan kami pergi dahulu, siapalah yang sanggup memelihara anakku, sahabat. Aku sering memanjatkan doa kepada Allah SWT supaya kami diberikan kesihatan dan panjang umur. Nasib anak-anak istimewa inilah yang kau perlu perjuangkan, sahabat. Menjadi tanggungjawab seorang peminpin sepertimu untuk memastikan kesejahteraan bangsa. Institusi yang menampung anak istimewa ini tidak banyak dan amat kurang orang Islam yang mengusahakan institusi ini. Aku bimbang sahabat, bagaimana anakku akan menghadapi hari depannya. Sedang aku yang mempunyai pendapatan yang baik kadang kala mengira hujung bulan yang bakal tiba. Aku sering terfikir bagaimana jika orang kampung yang miskin dapat menyara keluarganya jika ada anak istimewa. Perbelanjaan tambang dan perubatan, lampin dan makanan tambahan bagaimana akan dapat disediakan? Bantuan kebajikan tidaklah seberapa sahabat.
Anakku sedang ketawa, sahabat. Begitu leka dia bermain dengan janur kelapa. Isteriku di sebelahnya sedang mengayam ketupat. Begitulah keluarga kecil kami sahabat, kerisauan kami padamkan sebentar dari lipatan ingatan dengan hilai tawanya. Ramai orang yang tidak tahu, kasih anak istimewa ini kepada ibubapanya mengatasi kasih saying anak-anak normal. Kepulanganku dari kerja disambut dengan pelukan yang begitu erat. Kepenatan menghadapi tugas seharian terleraikan begitu sahaja dengan renungan bening matanya. Sememangnya dia anak istimewa sahabat, kuniaan Allah kepada keluarga kami. Tak mungkin kami rela berpisah dengannya.

Ramadhan begitu istimewa dalam hidup kami sahabat, kehadirannya sering mengingatkan kami begitu kerdil sebagai hamba yang mengharungi dugaan Nya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apakah hikmah di sebaliknya. Sahabatku, sebenarnya sudah bertahun-tahun aku ingin berbicara tentang kehidupanku yang tidak pasti, tetapi apa yang pasti aku memerlukan sokongan untuk meneruskan hidup ini.

Mingguan Malaysia
2 hb November 2002

5 ulasan:

polikliniksalehudin berkata...

Satu nukilan yg baik. U bolih melangkah one step lateral menyelami perasaan seorang OKU. Atau orang sakit diatas katil ICU.Saya percaya orang sihat takpernah terfikir apa perasaan apabila sakit terlantar, lumpuh sebelah anggota ,tiada kudrat untuk bangun membuat aktiviti harian kesukaan. goodluck

nooryahaya berkata...

ini cerpen yg masuk suratkhabar dulu kan? mingguan malaysia ke gitu

nooryahaya berkata...

eh cerpen yg lama lama tu kalau boleh publish lah kat sini.

Faizah Azaman berkata...

masyaAllah! ni cerpen ke pengalaman sendiri.aduh...mengalir air mata saya, tak boleh ditahan2. tahniah! maaf, saya tak kenal penulis.

Zamer berkata...

Saya PASTI akan ada sesuatu yang BESAR menanti sahabat..sesuatu yang akan membayar segala kos pengorbanan, wang-ringgit, keikhlasan dan pahit-maung yang dihadapi. Hanya INSAN TERPILIH sahaja yang mampu mengharungi DUGAAN seumpama ini...