Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Terbaru. Dapatkan segera dari penulis WA 012-2712906

Khamis, September 14, 2006

MEROMBAK & MEMBAIKI LEBIH PAYAH DARI MENGARANG

Aku ada satu novel ada dalam simpanan – bertulis tangan yang aku tulis 14 tahun lalu. Aku baca semula – banyak ayat-ayat manis yang jika sekarang pasti aku tak mampu menulisnya. Enam bulan lalu aku berikan novel bertulis tangan itu kepada seorang staf sambilan. Minta dia tolong taipkan – hanya siap dua bulan kemudian.
“Romantis juga encik ini rupanya,” komen staf itu waktu menyerahkan disket yang mengandungi novel itu sambil tersenyum penuh makna.
Ceritanya walau pun aku tulis 14 tahun lalu tetapi masih relevan dengan keadaan masa kini. Tentang seorang graduan yang bekerja marketing di Kuala Lumpur – berhenti kerja dan pulang ke kampung hanya kerana mahu kebebasan dan menjadi petani moden. Semuanya 390 muka surat. Aku baca, semak dan edit semula. Unsur-unsur erotik dan terlalu romantis, aku potong habis. Bagai LPF gamaknya! (LPF pun tak ketat sangat hingga boleh lepaskan banyak skrin yang tak sesuai dengan budaya dan agama dalam Gubra). Jadikan novel dengan nilai-nilai yang baik – yang tidak akan membawa dosa kering kepada penulisnya. Setelah siap – hanya tinggal 344 muka surat. Jalan ceritanya tidak berubah.
Soalnya – mana hendak ku hantar novel yang ku berikan nama ‘Pelangi Pagi’ ini? Ia bukan novel remaja – bukan juga novel sastera yang berat. Tidak sesuai untuk dihantar ke DBP.
Aku hubungi sebuah syarikat penerbitan – boleh diterima dan dinilai tetapi mahukan muka surat sekurang-kurangnya 400 muka surat. Tuhan, hendak masukkan 60 muka surat bukan sesuatu yang mudah. Plotnya sudah lengkap. Jalan ceritanya sudah tersedia kecualilah aku menambahkan 3 bab dengan sub-plot! Aku rasa aku tak mampu melakukannya dalam masa yang terdekat. Ada sebuah novel dewasa yang perlu aku selesaikan sebelum penghujung Disember ini. Akhirnya aku simpan kembali novel itu – tunggulah hingga dapat idea baru. Merombak dan membaiki lebih payah dari mengarang rupanya. Aduhai...

Tanah Rata
Cameron Highlands

3 ulasan:

Puan Ainon Mohd. berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Puan Ainon Mohd. berkata...

En. Kholid,

Cuba emelkan kpd saya, biar saya baca, mana tahu saya suka novel itu....

Tuliskan sedikit sinopsisnya!

nooryahaya berkata...

eleh.. apa susah susah.. publish saja kat sini.
dalam blog ni, dalam bentuk asal takyah tapis tapis..
ini citer zaman nak bela arnab dulu kan?
nak juga baca citer..